Wednesday, 13 October 2010

Khutbah Jumaat Zulkaedah 1431



Maqasiq Syar’iyah
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum:

وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
“Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa”

Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Jika kita perhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Begitu juga hukum kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh Terdapat 5 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini yang dinamakan Maqasid Syar’iyyah iaitu [1] memelihara agama, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara akal dan [5] memelihara harta. Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
“Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan”

Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Begitu juga dengan masalah Islamophobia iaitu sikap benci kepada Islam atas pelbagai alasan yang tidak munasabah yang bukan sahaja melanda negara Eropah malah merebak ke negara kita sendiri. Kadang-kadang sikap benci Islam itu timbul akibat kesalahan umat Islam sendiri yang memperlekehkan Islam dan sistemnya disamping akhlak dan sikap buruk yang ada pada segelintir umat Islam yang dipandang oleh orang bukan Islam sebagai ajaran Islam. Sayyidina Ali r.a ada berpesan yang berbunyi: Kenalilah muslim melalui Islam, jangan kenali Islam melalui muslim. Begitu juga kata pujangga: Keindahan Islam itu terlindung disebalik keburukan umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan cara hidup Islam.

Ketika bumi Eropah digegarkan dengan tindakan membakar, mengoyak al-Quran ditambah lagi dengan tindakan bacul kerajaan Denmark yang tetap berdegil untuk membenarkan buku yang melakar karikatur yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang dibantah sejak beberapa tahun lalu untuk dijual mulai minggu lepas, maka di negara kita timbulnya suatu laporan polis terhadap satu klip video oleh seorang Paderi bernama Benjamin di Sarawak yang mencaci nabi Muhammad s.a.w sebagai orang tua yang bernafsu terhadap kanak-kanak apabila salah seorang daripada isteri baginda berusia enam tahun disamping mendakwa dosa umat Islam akan diampunkan jika umat Islam dapat mengucup batu Hajarul Aswad yang berbentuk seperti alat kelamin wanita.

Tidak ketinggalan untuk kita mengambil perhatian terhadap keputusan Mahkamah di India memutuskan tapak Masjid Babri yang merupakan masjid tertua di India yang telah dirobohkan oleh puak pelampau Hindu seluas 25 hektar perlu dipecahkan, dengan masyarakat Islam mendapat kawalan 1/3 dan dua kumpulan Hindu diberi bakinya. Penduduk Islam tetap berpegang bahawa perkarangan di Ayodhya sebagai tapak Masjid Babri yang dibina pada kurun ke-16 yang diruntuhkan oleh pelampau Hindu pada tahun 1996 yang menyaksikan lebih 2000 terkorban ketika mempertahankannya sementara penduduk Hindu mendakwanya sebagai tempat kelahiran dewa Rama. Perebutan tanah masjid ini memberi pengajaran besar kepada kita dalam mempertahankan Masjid Aqsa, Palestin yang cuba dirobohkan oleh Yahudi dengan alasan di bina atas kuil milik mereka. Firman Allah dalam ayat 195 surah al-Baqarah:

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan termasuk terhadap bayi yang tidak berdosa semakin serius. Begitu juga masalah membunuh diri yang turut menghantui dunia dengan nisbah satu kes bunuh diri yang berlaku dalam setiap 40 saat di seluruh dunia di mana ia bukan hanya dilakukan oleh golongan jahil malah melarat kepada golongan profesional seperti doktor dan peguam selain pegawai polis dan pemilik hotel. Cara bunuh diri pula biasanya golongan wanita dengan cara meminum ubat dengan dos berlebihan, minum racun dan peluntur. Bagi lelaki pula, kebiasaannya memilih cara menggantung diri atau menembak diri sendiri. Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya.

Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap pelakunya seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
“Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu”

Melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku di depan mata termasuk tergugatnya Aqidah, terancamnya nyawa manusia, rosaknya keturunan dengan merebaknya zina dan anak zina, rosak akal dengan mabuk arak atau dadah serta rompakan dan kecurian di mana-mana maka tiada ubat paling mujarab kecuali kembali kepada Islam. Pastikan segala ibadat wajib dilaksanakan dengan penuh kualiti sebagai perisai diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dan jenayah seumpama solat kita biar ada ruh yang mampu mencegah daripada melakukan kemungkaran bukan hanya sekadar menunai perintah wajib sahaja. Pastikan al-Quran bergerak dalam diri dan system kehidupan bukan setakat tergantung di dinding sebagai perhiasan dan tersimpan di dalam almari sebagai koleksi sahaja. Contohilah bagaimana bergerak dan hidupnya al-Quran pada zaman nabi, para sahabat dan pemimpin Islam sebelum ini yang mendatangkan kegemilangan dalam mentadbir dunia dengan agama. Selagi hukum Allah diketepikan maka semakin banyak dan parah bala Allah yang turun silih berganti. Kembalilah kepada Islam nescaya kita akan bahagia di dunia dan akhirat.

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). “
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tuesday, 12 October 2010

Buat Sendiri Air Selusoh Untuk Isteri...


*Bunga Genggam Fatimah

Tadi balik dari solat magrib dekat masjid, ada hamba Allah datang minta tolong buatkan air selusoh. Katanya isterinya nak bersalin, minta ustaz tolong buatkan. Sebenarnya orang paling afdal buat air selusoh ini adalah suami itu sendiri. Bukan susah pun Cuma tak pernah nak ambil berat, jadi bila keadaan macam ini barulah kelam kabut.
Air selusoh ni satu ikhtiar kita sebelum seseorang wanita itu hendak bersalin terutamanya mengandungkan anak sulong agar Allah s.w.t memudahkan ibu tadi melahirkan anaknya. Diharuskan dalam Islam, tak buat pun tak ada masalah, doa pun memadai InsyaAllah dipermudahkan wanita tadi melahirkan anaknya.
Tapi orang Melayu ni terlebih advance, bukan sekadar ada air selusoh tapi ada upacara lain yang memang acap kali dibuat terutamanya mengandungkan anak sulong. Ada upacara khurafat yang dikenali melenggang perut. Jemput mak bidan melakukan upacara entah apa-apa tu dan yang paling best panggil imam untuk baca doa selamat, imam tadi pun datanglah membaca doa. Eloklah tu, dicampur adukkan antara yang hak dan batil. Tak salah kita nak ajak orang kenduri, mohon doa agar ibu tadi selamat dan dimudahkan urusan melahirkan anak, tapi jangan sesekali dicampur adukkan dengan unsure-unsur khurafat dan syirik.
Kali ni ustaz nakkongsi antara cara nak buat air selusoh. Ada macam-macam cara tapi yang pernah ustaz belajar dengan tok guru ustaz inilah caranya dan kalo orang minta tolong buatkan air selusoh, kalau keluarga terdekat ustaz guna kaedah ni, tapi kalau orang lain ustaz guna cara biasa je, sekadar membacakan ayat-ayat al-Qur’an pada air. Jadi cara ni special sikit, lepas ni kalau sudah beristeri dan bakal melahirkan anak, maka suami-suami buatlah sendiri, benda ni senang je, tak payahlah susah-susah minta orang tolong buatkan. Paling penting kita mohon dan yakin dengan pertolongan Allah s.w.t.
Cara nak buat air selusoh:
·         Paling elok gunakan air zam-zam. Tapi kalau tak dapat gunakan air tadahan hujan malam Jumaat, tapi kalau panas kemarau dan hujan tak turun-turun gunakan air biasa je, air yang di tapis pun boleh. Air yang eloklah sebab air ni untuk di minum.

·         Ambil kurma dan paling elok kurma nabi. Tapi kalo tak dapat kurma yusuf taiyob pun ok. Bukan nak banyak, 5 biji sahaja. Buang bijinya dan dicampurkan dengan air tadi seterusnya di blend.

·         Minyak kelapa buat sendiri. Orang dulu-dulu minyak kelapa masak sendiri. So nak minyak yang ini. Sebab tu sepatutnya setiap rumah paling tidak mesti ade sebotol minyak kelapa masak sendiri. Susah nak dapat sekarang ni. Tapi kalau tak dapat minyak kelapa dara pun ok juga, kalu tak ada juga guna minyak zaitun. Selain dari minyak tu tak boleh. Campurkan sedikit dalam air yang telah dicampur dengan kurma tadi.

·         Ayat-ayat al-Qur’an yang di baca untuk ramuan tadi ialah: Surah al-Fatihah tujuh kali, tiga qul tujuh kali, ayat kursi 7 kali, 3 ayat terakhir surah al-Baqarah tujuh kali, surah al-Hasyr ayat 21-24 sebanyak tujuh kali. Surah al-Zalzalah ayat 1-8 (3x)
·         Doa ayat ini:
·       بسم الله لا إله إلا الله الحليم الكريم، سبحان الله رب العرش العظيم الحمد الله رب العالمين…
(كأنهم يوم يرونها لم يلبثوا إلا عشية أو ضحاها)- النازعات 46-
·       كأنهم يوم يرون ما يوعدو ن لم يلبثوا إلا ساعة من نهار بلاغ فهل يهلك إلا القوم الفاسقون - الأحقاف 35 –
·       والله أخرجكم من بطون أُمهاتكم لا تعلمون شيئاً وجعل لكُمُ السمع والأبصار والأفئدة لعلكم تشكرون - النحل87 -
·       اللهم لا سهل إلا ما جعلته سهلا، وأنت تجعل الحزن إذا شئت سهلا
·       اللهم بحقّ مريم وبحقِّ مَنْ أنزلتْ عليه سورة مريم خفّفِ عنها آمهات المخاض برحمتك يا أرحم الرحمين
·       اللهم انزل المخاض من بطنها
Selesai baca ayat-ayat tersebut, maka air tadi boleh diminum seteguk pagi dan seteguk petang Sebaiknya sempat minum seminggu sebelum bersalin. Boleh juga disapu air tersebut di perut wanita yang mengandung tadi. Air tadi simpan dalam peti ais sebab ada campuran buah kurma, nanti masam plak jadinya.

Lagi satu petua orang-orang lama, dekat setiap rumah sepatutnya ada simpan pokok genggam Fatimah. Herba ni banyak dekat Makkah, so kalau orang pergi umrah, kalau mereka sudi boleh pesan. Genggam Fatimah ni ada yang jantan dan ada yang betina. Yang nak guna yang betina, macam mana nak bezakan, yang betina ada bunga-bunga kuning halus padanya. Jangan buang bunga ini, dekat bunga inilah ada penawar ubat. Rebus dan air rebusan bagi wanita yang hendak bersalin minum. Insya-Allah mohon kepada Allah s.w.t agar dipermudahkan.Amin….


Sunday, 10 October 2010

Berikhtiar Dalam Berubat dengan Ayat-Ayat al-Qur'an al-Karim...



“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang mukminin”

Sesungguhnya penyakit yang kita alami adalah ujian daripada Allah s.w.t. Lagi hebat ujian itu maka bersangka baiklah sesungguhnya Allah s.w.t menyayangi kita. Elhamdulilah dengan ujian ini dapat mendekatkan lagi kita kepada Allah s.w.t. Tetapi harus berwaspada jangan sesekali mengeluh kesah terhadap ujian dari Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang diredhai Allah s.w.t.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita amat yakini bahawa setiap penyakit yang Allah s.w.t turunkan itu pasti ada penawarnya. Berusahalah mencari penawar dari Allah s.w.t. Kita berubat dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an. Inilah penawar yang paling mujarab untuk umat Islam. Sebagai umat Islam kita wajib berikhtiar, bedoa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Tidak bergantung selain dari Allah s.w.t. Antara ayat ayat al-Qur’an yang boleh diamalkan adalah ayat-ayat al-Munjiyat. Kita yakini bahawa yang menyembuhkan itu adalah Allah s.w.t. Ubat yang kita makan, doktor yang kita temui adalah sebagai satu medium usaha kita kepada Allah s.w.t. Mereka ini tidak menyembuhkan penyakit. Kalau benarlah ubat itu boleh menyembuhkan penyakit, kenapa ada orang sakit kepala makan panadol boleh sembuh, dan ada individu lain pula yang makan panadol penyakitnya tidak juga sembuh. Yang menyembuhkan penyakit itu adalah tuhan yang mencipta penyakit tersebut, itulah Rabbul Jalil, Allahu Rabbi…

Banyak surah-surah lain yang boleh di amalkan, antaranya:
·         Al-Fatihah (Ummu Kitab) setiap kali perubatan Islam surah ini tidak pernah ditinggalkan.
·         Tiga Qul (benteng manusia dari gangguan makhluk halus dan sihir)
·         Ayat al-Kursi dan Qawatim Surah al-Baqarah (3 ayat terakhir dalam surah al-Baqarah) Di baca pada waktu pagi Allah s.w.t akan melindungi kita sampai ke petang, di baca waktu petang Allah s.w.t akan melindungi kita sampai esok paginya. Inilah pendiding diri kita.
·         Al-Mathurat (kalau tak dapat wazifah kubro, wazifah sughro pun tak apa) setiap hari selepas Subuh dan selepas Asar.
·         Selawat Syifa
·         Bismillah 5

السـبع ايــات المنـجيــات

بسم الله الرحمن الرحيم
 قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا كَتَبَ اللّهُ لَنَا هُوَ مَوْلاَنَا وَعَلَى اللّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal"
 التوبة51

 
بسم الله الرحمن الرحيم
 وَإِن يَمْسَسْكَ اللّهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ إِلاَّ هُوَ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدُيرٌ
الأنعام17
Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
 
 بسم لله الرحمن الرحيم
 وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)
هود6

 بسم لله الرحمن الرحيم
 إِنِّي تَوَكَّلْتُ عَلَى اللّهِ رَبِّي وَرَبِّكُم مَّا مِن دَآبَّةٍ إِلاَّ هُوَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
هود56
" Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.

 
 بسم لله الرحمن الرحيم
وَكَأَيِّن مِن دَابَّةٍ لَا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
 العنكبوت60

  بسم لله الرحمن الرحيم
مَا يَفْتَحِ اللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُ مِن بَعْدِهِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
فاطر2

  بسم لله الرحمن الرحيم
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ
العنكبوت61
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?

Saturday, 9 October 2010

Tujuh Golongan Yang Berbahagia di Akhirat Kelak...



Pagi Jumaat baru ni tazkirah di FB UPSI. Tajuk yang dikongsi dengan rakan-rakan staf adalah hadith berkaitan dengan 7 golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Bila tazkirah depan golongan yang hebat-hebat ni rasa seram sejuk jugak sebab mereka ni ada yang ada title prof, prof madya, dr, dato dan sebagainya. Tapi tak pe ilmu Allah s.w.t ni perlu dikongsi bersama. Hadith yang dikupaskan adalah riwayat dari Abu Hurairah r.a :
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله، ورجل قلبه معلق بالمساجد، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله. ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه" متفق عليه

Maksudnya: “Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid (selalu melakukan solat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seseorang yang digoda perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya.” (HR Bukhari)

1. Pemimpin yang adil. Amat susah nak cari seorang pemimpin yang adil pada akhir zaman sekarang ni. Sekarang ni dunia dah terbalik…mereka yang zalim diangkat dan dipuja menjadi pemimpin, sebaliknya mereka yang menyeru kepada kebaikan di pandang sepi. Lebih malang lagi yang zalim bertahta mewah bagaikan akan terus menongkat langit. Manakala mereka yang benar-benar ikhlas berjuang tempatnya adalah penjara. Kat penjara sekarang ni ramai orang-orang baik…sepatutnya penjara untuk orang-orang jahat. Tapi nak hairan apa sebab zaman dulu pun ramai ulama yang dipenjarakan seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Hassan al-Banna dan ramai lagi. Jadi sekiranya Allah uji kita dengan nikmat menjadi pemimpin ingatlah ia merupakan sebagai satu ujian dari Allah dan bukannya lubuk untuk mencari kekayaan dunia yang hanya bersifat sementara.

2. Pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah. Walaupun ditulis pemuda sahaja…tetapi ia merangkumi juga pemudi…itulah indahnya bahasa Arab yang perlu dipelajari oleh setiap orang Islam. Kalau kita lihat sekarang susah nak cari golongan yang dibesarkan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Hari ini ibu bapa tidak menitiskan air mata apabila anak-anak mereka tidak tahu membaca al-Qur’an, tidak tahu mendirikan solat dan tidak menutup aurat, sebaliknya ada ibu bapa yang menitiskan air mata apabila anak mereka terkeluar dari senarai pertandingan realiti. Maka lahirlah anak-anak apabila ibu bapa mereka meninggal dunia semua urusan jenazah di pakej kan sehingga membaca surah yassin untuk jenazah pun mengharapkan orang lain. Hari ini ibu bapa sanggup membelanjakan beratus-ratus ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen walau pun baru berusia 7 tahun, tetapi mereka terlepas pandang untuk mengajar anak-anak perkara asas berkaitan dengan Islam. Apabila seseorang anak itu mencapai umur akhil balighnya maka ajarkanlah kepada mereka tentang syahadah, maknanya walaupun tanpa dalil kerana itu yang dilakukan oleh rasulullah s.a.w ketika mengajar orang Arab Badawi tentang Islam. Kemudia apabila masuknya waktu solat maka ajarkan kepada mereka semua perkara berkaitan dengan solatnya, dari jenis air, cara berwuduk dan cara-cara solat. Apabila tibanya bulan Ramadhan maka ajarkan mereka cara berpuasa, Apabila cukup setahun dan mereka mempunyai harta, maka ajarkan mereka dan keluarkan zakat ke atas mereka. Apabila tibanya musim haji, maka ajarkanlah mereka tentang haji. Inilah asas-asas yang sepatutnya di ajar kepada anak-anak agar mereka ini membesar dalam suasana Islam.

3. Seseorang pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid. Sekarang ini kita lihat muda mudi hati mereka lebih asyik dan terpaut di tempat-tempat lain. Mereka lebih selesa berada di komplkes membeli belah, pusat-pusat hiburan, warung-warung dan sebagainya daripada hadir ke masjid. Hadith ini ditujukan kepada pemuda kerana sifat orang muda sukakan kepada hiburan. Jadi mana-mana orang muda yang dapat mengawal kehendak nafsu dan sentiasa rindukan kepada masjid mereka ini akan mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. Istilah yang digunakan tidak untuk orang tua, sebab menjadi sifat orang-orang veteran dan orang-orang pencen mereka akan memenuhi masjid. Inilah jemaah yang tegar. Tapi lebih malang ada orang tua yang tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur kata mari tapi masih lagi asyik dengan kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya.

4. Dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah. Ini yang payah nak dapat. Bertemu, bersahabat dan berpisah kerana Allah s.w.t semata-mata. Seringkali kita bertemu dan bersahabat demi kepentingan-kepentingan lain. Sebab orang itu berjawatan tinggi maka kita bersahabat dengan dia, sebab orang itu kaya raya maka kita bersahabat dengan dia, sebab orang itu dari golongan yang elit maka kita bersahabat dengan dia. Apabila semua itu telah lesap maka tali persahabatan dan keakraban yang terjalin pun lesap begitu sahaja. Mereka ini bertemu, bersahabat dan berpisah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. Sahabat yang ikhlas kerana Allah s.w.t adalah sahabat ketika mana kita suka dan duka, sahabat yang menegur kita bila kita melakukan kesalahan, sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah s.w.t inilah sahabat dunia dan akhirat. Inilah golongan yang amat sukar untuk dicari dan beruntunglah mereka yang memperolehinya.

5. Seseorang yang digoda perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”. Wah! Ini lagi susah nak cari. Ramainya orang buang bayi sekarang ni. Lepas tu plak ada sekolah khas untuk golongan ini seolah-olah menggalakkan lagi perbuatan mereka ni. Kenapa nak tiru orang kafir sedangkan kita ada modul tersendiri dan sangat sempurna, itulah agama Islam. Kenapa takut untuk berpegang kepada Islam secara mutlak, kenapa tak nak ambil Islam sebagai alat untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan yang pasti semuanya ada dalam agama yang sangat suci ini. Zaman sekarang ni macam kembali ke zaman silam. Sekarang bukan sahaja perempuan menggoda lelaki sebaliknya sesama sendiri. Wabak ini semakin parah, lelaki minat kepada lelaki dan perempuan minat kepada perempuan. Lebih parah lagi golongan ini semakin berani mengemukakan pendirian mereka secara terang-terang atas title demokrasi dan hak-hak kemanusiaan. Inilah propaganda musuh Islam yang berjaya menular masuk di kalangan umat Islam. Lebih-lebih parah lagi pendirian mereka ini disokong oleh golongan orang Islam yang berkedudukan. Sah kita kini berada di akhir zaman!

6. Seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya. Menjadi trend terutama dalam bulan Ramadhan dan nak pilihanraya. Maka ramailah hamba Allah s.w.t yang menaburkan sedekah, kemudian dicatatlah amalan kebaikkan mereka ini dalam akhbar-akhbar yang banyak berita tipu dari yang betul. Seterusnya mereka ini dipuji dan disebut-sebut sebab betapa murninya dan tulusnya perbuatan mereka. Mereka ini diangkat dan dipuja seterusnya dijadikan pemimpin untuk memimpin rakyat. Alih-alih baru sepenggal pegang jawatan dan jadi jutawan. Menarik juga tu. Cuma rasa kompius…adakah semua perbuatan mereka ini dipandang oleh Allah s.w.t? Lebih parah lagi derma RM1 aje, tapi berita dekat muka depan akhbar. Biarlah kita member tetapi orang tak tahu, apalah yang dicari mulianya dari kaca mata manusia tetapi tetap hina di sisi Allah s.w.t.

7. Seseorang yang berzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya. Boleh ke sampai tahap yang macam ini. Duduk bersendirian berzikir dan menitiskan air mata. Sekarang ni terutama anak muda ramai juga yang bersendirian tapi lain plak kerjanya. Boleh FB berjam-jam lamanya sampai semua tanggung jawab di abaikan. Boleh duduk bersendirian berzikir tapi bukan menitiskan air mata sebaliknya mengantuk rasa mata. Selalu juga yang menangis tapi bukan disebabkan mengenangkan dosa yang banyak, tapi menangis sebab lain yang entah apa-apa. Susahnya nak cari golongan yang macam ini, selayaknya mereka ini mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. Ustaz ada juga menitiskan air mata, sebab rindukan isteri yang jauh, tetapi selalu pujuk hati dengan berbisik mengatakan adat orang berjuang mesti sabar dan tabah, kalau ikutkan geloran nafsu mahu meroyan jadinya. Semoga kita salah seorang dari 7 golongan di atas. Tapi kalau dapat kita termasuk dalam ketujuh-tujuh golongan itu elhamdulilah. Siap juga akhirnya.

Thursday, 7 October 2010

Hukum Pakaian Bergambar...



[يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاساً يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشاً وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ]
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Hadith yang diriwayatkan dari al-Bukhari dan Muslim, Saidatina Aisyah r.a membeli (النمرقة) kain tudung/sarung yang mana terdapat gambar di atasnya. Ketika mana Rasulullah s.a.w pulang baginda s.a.w amat terkejut dan terus berdiri di pintu rumah dan tidak masuk ke dalamnya. Pada wajah baginda s.a.w kelihatan isyarat yang menunjukkan baginda tidak menyukainya. Lantas Saidatina Aisyah r.a berkata: “Wahai Rasulullah aku memohon ampun kepada Allah dan apakah dosaku” Maka Rasulullah s.a.w bertanya: “Dari manakah kamu mendapat kain ini” Saidatina Aisyah r.a memberitahu yang dia membelinya untuk tujuan alas tempat duduk Rasulullah dan menyelimut baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesungguhnya pemilik kain yang bergambar ini akan diazab pada hari kiamat dan maka dia diminta oleh Allah s.w.t untuk menghidupkan apa yang dicipta olehnya / lukiskan”.  Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabada: “Sesungguhnya Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya mempunyai gambar”

Sekiranya rumah yang mempunyai gambaran makhluk hidup tidak akan dimasuki oleh Malaikat, apatah lagi pakaian yang kita pakai mempunyai gamabr-gambar makhluk hidup, malaikat akan menjauhkan dari kita. Ini bermakna kita jauh dari rahmat Allah s.w.t kerana para Malaikat ini mereka mambawa rahmat dari Allah s.w.t untuk manusia.

Hukum memakai pakaian yang ada bergambar. Permasalahan ini telah dibincangkan secara meluas di kalangan ulama. Beberapa persoalan lain yang timbul dalam permasalahan ini ialah:

* Hukum mengambil/melukis/mengukir/mencetak gambar manusia dan benda-benda hidup yang lain seperti haiwan dan burung-burung.
* Hukum melukis gambar/mencetak gambar yang tidak asli seperti gambar kartun manusia atau haiwan.
* Hukum memakai pakaian yang bergambar dalam solat.
* Hukum memakai pakaian bergambar untuk kanak-kanak.
* Hukum memakai pakaian bergambar yang berunsurkan agama lain.

Kesimpulan: Islam melarang (haram) memakai pakaian yang mempunyai gambar manusia dan haiwan. Hadith Nabi s.a.w: (إن الملائكة لا تدخل بيتاً فيه صورة) “Sesungguhnya Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya mempunyai gambar”.-al-Bukhari (3226), Muslim (2160) Hadith lain (أشد الناس عذابا يوم القيامة المصورون) “Azab yang paling dahsyat untuk manusia di hari kiamat ialah tukang ambil gambar / tukang lukis”.

Perbincangan lain yang timbul adalah untuk gambar yang tidak sempurna seperti kepala tanpa badan, badan tanpa kaki dan sebagainya. Sebahagian ulama tetap melarangnya kerana ia masih lagi menyerupai kejadian Allah s.w.t.

Untuk gambar kartun pula, ada yang mengharuskan dengan alasan ia bukan gambar yang sebenarnya tetapi ia adalah khayalan pelukis sahaja, seperti gambar tikus menghisap rokok, kucing terbang dan sebagainya. Ini adalah ilustri pelukis sahaja dan ia tidak menyamai dan meniru ciptaan Allah s.w.t.

Ada hadith lain yang yang berbunyi: (لا تدع صورة إلا طمستها) “Jangan biarkan sesuatu gambar melainkan dipadamkan”

Manakala untuk gambar pemandangan ia diharuskan dalam Islam. Mudah cerita, sebagai seorang Islam tak perlulah memakai pakaian yang ada unsur seperti di atas terutamanya ketika mahu menunaikan solat. Sebab akan menganggu kekhusyukan orang lain. Islam tidak pernah melarang dari kita berhias kerana menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan menarik. Cumanya Islam ada menggariskan batasan-batasan tertentu yang bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan kehidupan manusia. Ia juga membezakan agama Islam yang luhur dan suci dari agama-agama lain.Ini termasuklah memakai topi, tudung, selendang dan sebagainya yang mempunyai gambar-gambar tersebut. Ulama Saudi mengharamkan secara mutlak dalam permasalahan ini tidak kira untuk lelaki atau perempuan, kanak-kana atau orang dewasa dan termasuklah mereka yang mencetaknya.

Tetapi sekiranya gambaran itu terdapat pada permaidani atau sarung bantal dan sebagainya maka ia dibolehkan, tidak untuk pakaian. Kerana sifat gambar pada pakaian adalah untuk mengagungkannya. Ini yang tidak dibenarkan dalam Islam. Sebenarnya perbicangan ini banyak dan luas lagi…tetapi cukup sekadar ini sahaja untuk kali ini.

Saturday, 18 September 2010

Daulat Tuanku Sultan Kelantan...

 Persembahan Tahniah
Ke hadapan
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra
D.K., S.P.M.K.

*Kalau Sultan macam ni...nak doakan baginda dalam khutbah Jumaat pun tak payah fikir 2, 3 kali..