Tuesday, 15 December 2009

...Ancaman-ancaman Negara...


Ancaman dan cabaran di alaf baru ini mempunyai perspektif yang berbeza-beza mengikut sejarah negara masing-masing di samping faktor lain seperti demografi, sosial politik, status ekonomi dan juga perkembangan pembangunan di negara jiran dan seluruh dunia. Di Malaysia, ancaman terhadap keselamatan dalam negara datangnya dari dua cabang, dalam negara dan luar negara.

Dari dalam negara, kita menerima ancaman daripada puak-puak ekstrimis kaum dan penyimpang agama. Kelompok ini menjadi ancaman kepada negara kerana tindak-tanduk mereka yang sanggup melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan demi mencapai matlamat masing-masing. Selain daripada itu, terdapat juga pihak yang sengaja mengeksploitasi isu-isu ekonomi dan sosial politik negara untuk mendapatkan sokongan terutama dari kalangan parti politik dan badan bukan kerajaan. Kehadiran pendatang sama ada mereka masuk ke negara ini secara sah atau haram juga boleh menjejaskan imej dan keharmonian negara.

Ini kerana sebilangan daripada mereka suka menimbulkan masalah dan menghuru-harakan keselamatan negara. Selain daripada itu, ancaman juga boleh datang daripada kegiatan pemalsuan dokumen-dokumen penting kerajaan seperti pasport antarabangsa Malaysia, kad pengenalan dan sijil lahir. Senario ini amat merbahaya dan perlu ditangani dengan sebijak mungkin. Selain daripada ancaman dari dalam negara kita juga mesti berwaspada dengan ancaman yang hadir dari luar seperti aktiviti subvertif, espionaj, sabotaj dan cubaan menjatuhkan nama baik Malaysia dari kaca mata kuasa-kuasa besar. Kuasa-kuasa besar juga pasti mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi perkembangan pembangunan ekonomi dan sosio politik Malaysia melalui badan-badan bukan kerajaan mereka yang aktif. Ancaman ekonomi juga perlu diberi perhatian contohnya serangan terhadap ringgit, beberapa tahun yang lalu. Selain daripada itu isu sempadan juga boleh menjadi ancaman besar kepada negara.

Konsep baru dunia tanpa sempadan dan fenomena kemajuan teknologi maklumat telah mewujudkan ancaman di alaf baru. Contohnya, internet yang disalahguna untuk mengedarkan pelbagai bahan anti kerajaan, menjatuhkan kerajaan dan promosi aktiviti yang boleh menggoyahkan kestabilan keselamatan negara. Di pentas antarabangsa, sistem dagangan bebas dan kapitalis global jika tidak dikendalikan dengan baik boleh mengganggu ekonomi dan mencabar kedaulatan negara-negara kecil seperti Malaysia. Ancaman terbesar dalam negara yang perlu diberi perhatian yang serius meliputi ancaman subvertif, espionaj dan sabotaj.

a. Subvertif
Subversif ialah kegiatan atau aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu pertubuhan, kumpulan-kumpulan tertentu atau orang perseorangan di dalam atau di luar Malaysia yang tidak sampai kepada perbuatan peperangan. Ianya adalah bertujuan untuk menghancur dan membinasakan ketenteraman yang sedia ada dengan cara-cara yang salah di sisi undang-undang atau yang bertentangan dengan perlembagaan.

Ia juga boleh ditafsirkan sebagai satu pergerakan yang dijalankan oleh musuh-musuh negara untuk mengambil alih kuasa dari kerajaan secara salah di sisi undang-undang. Seterusnya melalui kegiatan ini akan mengakibatkan terkuburnya dan hilangnya perasaan dan etika taat setia rakyat terhadap negaranya. Kelemahan manusia adalah penyumbang utama kepada masalah ancaman dalam negara.

b. Espionaj
Seperti yang tercatat dalam Buku Arahan Keselamatan Bahagian II, Perenggan 8, espionaj boleh ditafsirkan sebagai suatu kegiatan dan aktiviti untuk memperolehi perkara terperingkat dengan cara tersembunyi dan berselindung serta atau salah di sisi undang-undang bagi tujuan yang memudaratkan keselamatan atau kepentingan Malaysia.

Ancaman espionaj adalah sebagai agen perisikan negara asing, Pengintip Ketenteraan dan Ekonomi, Investigate Journalist, orang awam dan personel sendiri. Jenis-jenis ancaman espionaj adalah sebagai perisik ideologi, dorongan untuk mendapatkan wang, tekanan dari pihak luar, lalai tingkah laku yang membahayakan dalam menjalankan tugas.

c. Sabotaj
Sabotaj ialah satu perbuatan atau omitan bertujuan menyebabkan kerosakan fizikal untuk kepentingan-kepentingan sesebuah kuasa asing atau sesuatu tujuan politik yang subversif. Sabotaj mungkin boleh dilakukan pada masa aman atau perang. Dalam masa aman sabotaj mungkin boleh dilakukan oleh orang perseorangan yang bersimpati dengan tujuan-tujuan kuasa-kuasa yang tidak berbaik dengan Malaysia dan ianya mungkin merupakan atau tidak merupakan suatu kempen yang teratur. Pada masa peperangan sabotaj berkemungkinan besar dilakukan mengikut suatu rancangan yang teratur dan rancangan ini mungkin pula sebagai sebahagian atau _permulaan daripada suatu rancangan yang lebih besar untuk melumpuhkan pertahanan negara.
Jenis-jenis sabotaj merangkumi sabotaj antara kerajaan, sabotaj fizikal, sabotaj politik dan sabotaj ekonomi.

2 comments: