Thursday 7 April 2011

Khutbah Jumaat Bahaya Fitnah & Tuduhan Fitnah


الحَمْدُ للهِ حقَّ حَمْدِهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عبدُ للهِ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وسَلَّمَ تسليماً كثيراً، أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتقوا الله الواحدُ القهار، يا أولى الألباب لعلكم تفلحون...
Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t. Marilah tingkatkan iman dan taqwa padaNya dengan kita mengerjakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Semoga Allah s.w.t melimpahkan kurnia dan kasih sayang dalam usaha membentuk jiwa dan keimanan kita. Amin Ya Rabbal A'lamin. Kebelakangan ini kehidupan kita agak tidak selesa kerana kita di dedahkan dan diperdengarkan perkara-perkara yg  tidak sedap di dengar kerana ia boleh tergolong dalam apa yang di anggap fitnah di dalam ajaran Islam. Islam sebenarnya telah mengajar  kita bagaimana untuk menghadapi keadaan seperti ini berdasarkan firman Allah dalam surat Al hujarat ayat 6:
يَـٰأَيُّها ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ إِن جَاءَكُم فَاسِقُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُواْ أَن تُصِيبُواْ قَومَا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلتُم نَـٰدِمِينَ
Jika datang kepada kamu orang yangg fasik membawa berita, maka selidiklah, agar kamu tidak membuat sesuatu kepada suatu kaum lantaran tidak tahu, lalu kamu akan menyesal atas apa yg kamu kerjakan.

Ayat diatas memperingatkan kepada kita tentang bahayanya kita terus mempercayai sebarang bentuk berita yg kita terima daripada mereka yg fasik samada melalui orang perseorangan, akhbar, televisyen, radio, blog, e-mail, sms dan sebagainya. Apakah patut kita terus mempercayai berita yg disiarkan di media yg di dalamnya juga ada keputusan judi nombor ekor? Patutkah kita terus percaya kepada sumber berita yg di dalamnya sentiasa menyiarkan program-program maksiat yg melalaikan orang dari memperingati Allah? Yang tidak memperdulikan hukum halal dan haram asalkan saja dapat memberi keuntungan di dunia ini? Dimanakah adab atau etika seorang muslim sehingga sanggup mengaibkan saudara muslim yang lain?

Tambahan pula jika berita yg kita dengar melibatkan tuduhan yg amat  beratseperti tuduhan zina yang tergolong dalam dosa-dosa besar.  Menuduh saudara sesama muslim dengan tohmahan-tohmahan yang besar seperti zina merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya. Tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menjatuhkan maruah diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t  dalam Surah an-Nur: 23-25:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرمُونَ ٱلمُحصَنَـٰتِ ٱلغَـٰفِلَـٰتِ ٱلمُؤمِنَـٰتِ لُعِنُواْ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ وَلَهُم عَذَابٌ عَظِيمٌ (٢٣) يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيدِيهِمۡ وَأَرجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ (٢٤) يَومَئِٕذٍ يُوَفِّيهِمُ ٱللَّهُ دِينَهُمُ ٱلحَقَّ وَيَعلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلحَقُّ ٱلمُبِينُ
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (tidak pemah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuaru menurut bakikat yang sebenarnya).

Para ulama telah sepakat (Ijma') mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita mukminah.

Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) karana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aishah As-Siddiqah Binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan fitnah yang sangat keji. Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan zina dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan keperibadinya iaitu Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan memarakkan api fitnah.

Demikianlah kisah yang telah mempermalukan dan meresahkan rumah tangga nabi s.a.w, rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran dari petala langit yang tujuh, bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sedikala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan yang sangat jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tursebut, kaum muslimin merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu. Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur: ayat 11-13
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَاءُو بِٱلإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم لَا تَحسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم‌ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم لِكُلِّ ٱمرِىٍٕ مِّنهُم مَّا ٱكتَسَبَ مِنَ ٱلإِثمِ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبرَهُ ۥ مِنهُم لَهُ ۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ (١١) لَّولَا إِذ سَمِعتُمُوهُ ظَنَّ ٱلمُؤمِنُونَ وَٱلمُؤمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا وَقَالُواْ هَـٰذَا إِفكٌ مُّبِينٌ (١٢) لَّولَا جَاءُو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذ لَم يَأتُواْ بِٱلشُّهَدَاءِ فَأُوْلَئكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلكَـٰذِبُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira babawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang  mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Sepatut mereka (yang menuduh itu) mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

Inilah hukuman Allah yang tegas, sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil tiada cacat keperibadinnya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuaran zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah di terangkan secara kiasan dalam undang-undang shariah: seperti: besi celak dimasukkan ke dalam bekasnya atau seperti pena dimasukkan ke dalam botol dakwat. Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, iaitu pada firman Allah s.w.t:
وَٱلَّذِينَ يَرمُونَ ٱلمُحصَنَـٰتِ ثُمَّ لَم يَأتُواْ بِأَربَعَةِ شُهَدَاءَ فَٱجلِدُوهُم ثَمَـٰنِينَ جَلدَةً وَلَا تَقبَلُواْ لَهُم شَهَـٰدَةً أَبَدًا‌ وَأُوْلَٰئكَ هُمُ ٱلفَـٰسِقُونَ
Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (Berbuat zina) mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (Surah an-Nur:4)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu: Pertama: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh beserta kaum keluarganya.

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Perkataan 'kesaksian' dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, ia mencakupi seluruh jenis kesaksian.

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarinya sebagai orang yang fasik. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Firman Allah s.w.t:
أَفَمَن كَانَ مُؤمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا لَّا يَستَوُ ۥنَ (١٨) أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُم جَنَّـٰتُ ٱلمَأوَىٰ نُزُلاَ بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ (١٩) وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأوَٰهُمُ ٱلنَّارُ كُلَّمَا أَرَادُواْ أَن يَخرُجُواْ مِنها أُعِيدُواْ فِيهَا وَقِيلَ لَهُم ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ
Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka. (as-Sajdah: 18-20)

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya.

 Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat 48: 12)

Dalam satu hadith sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma'iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam: "Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu". Rasulullah juga bersabda: "Seluruh umatku akan memperolehi pengampunan, kecuali orang-orang yang suka meyebarkan aib orang lain." Dan baginda bersabda: "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat."

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran al-Karim:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ وَٱللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لَا تَعلَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) ( an-Nur: 19)

Mimbar hari ini menyeru semua pihak untuk tidak menyebarkan segala fitnah yg akan merugikan umat Islam keseluruhannya samada melalui internet, ucapan, tulisan dan sebagainya. Janganlah kita menjadi penyambung kepada warisan fitnah yang tersebar kerana ia akan menambahkan dosa yg sedia banyak yg kita tanggung sekarang ini.  Perihal fitnah ini bukan sahaja memalukan orang yg tertuduh dan keluarga mereka sahaja, tetapi mencemarkan imej seluruh umat Islam. Agaknya apa pandangan orang-orang bukan Islam terhadap umat Islam dan agama Islam bilamana umat Islam amat berpegang dan percayakan kepada fitnah untuk kepentingan dan tujuan-tujuan tertentu. Bagaimana kita ingin mengambarkan Islam itu sebagai agama yg terbaik dan serba lengkap jika perilaku umatnya sungguh memalu dan menjijikkan. Bagaimana kita ingin meyakinkan bahawa Islam layak memerintah negara dan seluruh pelusuk dunia  dengan adil jika akhlak yg ditunjukkan umatnya sangat jauh dari kehendak agama Islam yg kita junjung tinggi ini. Marilah kita kembali menegakkan segala undang-undang Allah dalam diri kita , dalam keluarga kita, dalam masyarakat kita, dalam negeri kita dan dalam negara kita supaya kita terlepas dari kemelut yg tidak berkesudahan dan supaya kita semua mendapat pengampunan dari Allah s.w.t.
وَقَـٰتِلُوهُم حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتنَةٌ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ ٱنتَهَواْ فَلَا عُدوَانَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ والسنةِ وَنَفَعَنا وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِما مِنَ الآيَاتِ والحكمة وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ الجليل لِيْ وَلَكُمْ وَلكآفةِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ مِنْ جميع الذنوب والخاطئات فَاسْتَغْفِرُوْهُ وتوبُ اليك إنه هو التوّبُ الرحيم.
 
 
Sumber asal & kredit untuk blog: http://khairulaznan.blogspot.com