Thursday 12 November 2009

...Khutbah Jumaat 13 Nov 2009...



Hari Qiamat dan Amalan Soleh

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Hayatilah perasaan Taqwa dalam diri sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Begitulah juga dengan hamba Allah yang bertaqwa sentiasa cermat dalam tindak tanduknya agar tidak terkena duri kemaksiatan atau kekufuran yang boleh merobek keimanannya.

Ingatlah juga pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz tentang taqwa di mana katanya: Aku berpesan dengan ketaqwaan kepada Allah di mana Dia tidak menerima selain taqwa, Allah tidak kasih melainkan kepada ahli taqwa, Allah tidak memberi ganjaran pahala melainkan atas taqwa. Sesungguhnya mereka yang berpesan dengan taqwa begitu ramai sedangkan mereka yang beramal dengan taqwa begitu sedikit. Takutlah kepada Allah nescaya manusia akan hormat kepada kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah maka kita akan takut sesama manusia.


لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِنْ دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya iaitu sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram insya Allah, dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui dan Dia memberikan selain itu kemenangan yang dekat.             -al-Fathu:27-


Kini kita sudah berada di penghunjung bulan Zulkaedah, kita melihat di sekeliling kita mereka yang dijemput dan dimuliakan oleh Allah swt sebagai tetamunya untuk tahun ini. Bersama-samalah kita berazam dan berdoa kepada Allah agar kita diberi peluang untuk menjadi tetamu-Nya pada tahun-tahun berikutnya atau pun paling tidak sekali dalam seumur hidup kita. Insya-Allah.

Sesungguhnya dalam bulan ini juga mengingatkan kita tentang suatu peristiwa besar dan bersejarah iaitu telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila nabi bersama 1500 orang umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy yang merasa gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu.

Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh. Ini menyebabkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat melakukan Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah.

Ketika mereka sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Perjanjian Hudaibiah ini walaupun pada pandangan zahirnya begitu merugikan umat Islam tetapi akhirnya terbukti bahawa tindakan yang diambil oleh nabi Muhammad s.a.w yang berlandaskan wahyu telah membuka jalan kepada pembukaan Kota Mekah. Asalnya hanya untuk menunaikan haji tetapi hasilnya dapat membuka Kota Mekah iaitu kejayaan yang lebih berganda.

Perjanjian Hudaibiah sepatutnya diambil pengajaran yang penting terutama dalam memberi petunjuk bagaimana cara terbaik dalam melakukan perjanjian atau kerjasama politik dengan orang kafir agar ia menguntungkan Islam dan bukannya mengorbankan agama. Perjanjian dengan orang kafir memerlukan kepada daya kepimpinan yang tegas dan strategi yang kemas agar Islam benar-benar didaulatkan bukan bahan yang dipijak-pijak. Contohnya perjanjian damai dengan Israel yang dibuat oleh pemimpin yang telah dibeli oleh yahudi tidak berjaya menyelesaikan masalah bahkan menambah nasib malang yang menimpa Masjid Aqsa dan umat Islam. Begitu juga bagi kita yang berada di negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama maka tindakan berasaskan Islam mesti dilakukan ketika membuat sebarang hubungan kerjasama dengan orang bukan Islam agar ia membantu untuk menguatkan Islam bukannya satu demi satu hak dan keistimewaan Islam tergadai dan dihapuskan. Firman Allah dalam ayat 1 – 8 surah al-Zalzalah:




إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا وَقَالَ الْإِنْسَانُ مَا لَهَا يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا بِأَنَّ رَبَّكَ 
أَوْحَىٰ لَهَا يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Ketika bercakap tentang cuaca dan keadaan bumi pada hari ini yang semakin berubah maka banyak telahan dan andaian telah dibuat. Bukan umat Islam sahaja yang sememangnya wajib percaya kepada berlakunya qiamat yang bercakap tentang dunia yang semakin kepada saat kehancuran malah agama lain turut mengakui bahawa bumi ini akan hancur apabila sampai kepada pusingan gilirannya. Begitu ahli sains yang mengatakan bahawa bumi ini akan hancur akibat hentaman komet atau asteroid dan apabila berlakunya perlanggaran antara galaksi. Bencana yang dahsyat dan besar juga boleh berlaku apabila plat-plat bumi bergerak semakin pantas dan mengakibatkan pertembungan sesamanya di mana plat bumi bergerak semakin pantas ekoran tindakan manusia itu sendiri seperti pemusnahan hutan, penggondolan bukit, ujian nuklear dan penggerudian dasar laut.

Malah sebuah filem barat yang baru ditayangkan berdasarkan teori ‘pengakhiran kalendar’ kaum Mayan, Mexico, kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012. Qiamat bukan setakat disebut malah diambil sebagai suatu peringatan penting kepada kita semua agar kembali kepada cara hidup Islam dalam semua sistem samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Jangan biarkan kita hanya menjadi orang yang hanya tahu bercakap tentang qiamat tetapi tidak bersedia untuk menemui Allah dengan bekalan akhirat. Manusia yang bijak ialah orang yang sentiasa bersedia dengan saat kematian dan bekalan akhiratnya. Firman Allah dalam ayat 72 surah al-Ahzab:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Jika di Indonesia dan beberapa negara yang lain banyak bangunan yang runtuh dan nyawa yang terkorban akibat gempa bumi, ribut taufan, banjir besar, gunung berapi dan sebagainya tetapi di negara kita banyak binaan termasuk stadium, makmal sekolah, jalan bertingkat, masjid, jambatan dan sebagainya runtuh bukan disebabkan gempa bumi sebaliknya akibat amalan rasuah dan pecah amanah dalam proses pembinaannya. Media massa hari ini sibuk bercakap tentang integriti atau telus amanah dalam melaksanakan tugas terutama selepas Laporan Audit Negara yang membongkarkan bagaimana 28 bilion wang negara hangus akibat pecah amanah dan sebagainya. Benarlah amaran nabi Muhammad s.a.w iaitu apabila amanah diserahkan bukan kepada ahlinya maka tunggulah saat kehancuran. Lahirkanlah dalam negara kita golongan yang beramanah dan takutkan Allah bukannya golongan yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan menipu rakyat, Ulama’ akhirat yang menjadi penegur dalam memperbetulkan keadaan bukannya pengampu yang menambahkan lagi masalah sedia ada dan juga rakyat bawahan yang sentiasa cintakan cara hidup Islam.

Ketika ramai lagi rakyat yang susah memerlukan bantuan tetapi wang negara dibazirkan begitu sahaja dengan perkara yang tidak penting dan salah guna kuasa. Lahirkanlah masyarakat bermula daripada atasan hinggalah bawahan yang bencikan rasuah dan jauhi pecah amanah atau kita bakal berdepan dengan kemusnahan yang lebih teruk. Nabi Muhammad s.a.w telah mengingatkan kita tentang fitnah akhir zaman termasuk amalan rasuah yang dijadikan budaya dan keperluan hidup sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thobrani dan Abu Nu’aim daripada Muaz b Jabal:
قال الرسول:  خُذُوْا العَطَاءَ مَادَامَ عَطَاءًا فَإِذَا صَارَ رَشْوَةً فِىْ الدِّيْنِ فَلاَ تَأْخُذُوْهُ وَلَسْتُمْ بِتَارِكِيْهِ يَمْنَعُكُمُ الفَقْرُ وَالحَاجَةُ
Ambillah oleh kamu akan suatu pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun hakikatnya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ