Tuesday 17 December 2013

Hadith Pokok Kurma Menangis...



Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhariy (hadith nombor 3563) dari Jabir bin Abdillah r.a dalam bab tanda-tanda kenabian tentang perihalan tangisan pokok kurma kerana nabi s.a.w menggantikannya dengan mimbar baru ketika berkhutbah: 

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُومُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَى شَجَرَةٍ أَوْ نَخْلَةٍ، فَقَالَتْ لَهُ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ، أَوْ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلا نَجْعَلُ لَكَ مِنْبَرًا؟ قَالَ:"إِنْ شِئْتُمْ "فَجَعَلُوا لَهُ مِنْبَرًا، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ ذَهَبَ إِلَى الْمِنْبَرِ، فَصَاحَتِ النَّخْلَةُ صِيَاحَ الصَّبِيِّ، فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَضَمَّهَا إِلَيْهِ، كَانَتْ تَئِنُّ أَنِينَ الصَّبِيِّ الَّذِي يَسْكُتُ، كَانَتْ تَبْكِي عَلَى مَا كَانَتْ تَسْمَعُ مِنَ الذِّكْرِ عِنْدَهَا.

Maksudnya: “Dari Jabir bin Abdillah r.a berkata, dahulu Rasulullah s.a.w pada hari Jumaat selalu berdiri di sebatang pokok kurma. Lalu seorang wanita dari kalangan Ansar berkata atau seorang lelaki: Wahai Rasulullah! mahukah engkau kami buatkan mimbar? Rasulullah menjawab: “Jika kamu sudi buatlah”. Lalu mereka membuatkannya. Bila tiba hari Jumaat, Rasulullah keluar menuju mimbar (yang baru itu), lalu menangislah pokok kurma itu seperti tangisan seorang bayi. Lalu Rasul s.a.w pun turun kemudian menyentuh pokok (kayu) yang menangis seperti tangisan seorang anak kecil dan ia pun diam. Pokok kurma itu menangis kerana kebiasaannya dahulu mendengar zikir yang diucapkan di sisinya”.  

Sunday 21 July 2013

Kisah Ibn Huzaifah al-Yaman (penyimpan rahsia Nabi s.a.w) dan Umar al-Khatab r.a


Kisah yang menarik untuk difikirkan. Tutur kata yang keluar dari mulut orang yang soleh umpama butiran mutiara yang sangat berharga. Kisahnya, saidina Umar r.a bertemu dengan Huzaifah al-Yaman dan bertanyakan khabarnya, bagaimanakah keadaannya padavpagi ini. Maka Huzaifah al-Yaman menjawab:

"sesungguhnya pada pagi ini aku bencikan yang HAK dan cintakan kepada FITNAH, aku bersaksikan dengan sesuatu yang aku TIDAK MELIHATNYA, aku menjaga sesuatu yang BUKAN MAKHLUK, aku bersalat TANPA WUDUK dan aku mempunyai sesuatu di atas muka bumi yang ALLAH s.w.t tidak memilikinya".

Mendengar jawapan dari Huzaifah al-Yaman, saidina Umar r.a menjadi sangat marah dan terus beredar serta berazam akan memberi balasan (memukul) suatu hari nanti. Ketika saidina Umar r.a beredar beliau bertemu dengan saidina Ali r.a. Maka Ali r.a bertanya kepada sahabatnya apakah yang menyebabkannya menjadi terlalu marah. Maka Umar r.a menceritakan dialognya bersama-sama dengan Huzaifah al-Yaman sebentar tadi. Response saidina Ali r.a terhadap jawapan Huzaifah al-Yaman ialah:

-Sesungguhnya benarlah ia bencikan yang HAK dan cintakan kepada FITNAH sebab HAK yang dimaksud olehnya adalah kematian, manakala FITNAH pula ialah anak-anak dan harta benda.

- Sesungguhnya benarlah ia menjadi saksi kepada benda yang tidak dilihat olehnya, iaitu dia bersaksikan tentang kewujudan Allah, kematian, kebangkitan semula, hari kiamat, syurga dan neraka. Semua perkara ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.

- Sesungguhnya benarlah ia sentiasa menjaga sesuatu yang bukan MAKHLUK, iaitu Al-Qur'an Al-Karim. Al-Qur'an bukan makhluk yang bersifat musnah, tetapi ia merupakan Kalam Allah s.w.t yang bersifat qadim.

-Sesungguhnya benarlah ia bersalat tanpa wuduk, salat itu ialah salawat ke atas nabi s.a.w.

-Sesungguhnya benarlah ia mempunyai sesuatu di atas muka bumi yang Allah tidak memilikinya iaitu dia memiliki anak dan isteri, sedangkan Allah s.w.t itu bersifat tunggal, tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak pula mempunyai isteri. 

Mendengar jawapan dari saidina Ali. r.a, maka saidina umar menggungkapkan kata-katanya yang masyhur:

"كُلُّ النَّاسِ أَعْلَمُ مِنْ عُمَرَ"