Wednesday, 8 January 2014

...Hadith berkaitan Jangan Jadi Seperti Lalang...


Hadith berkaitan dengan prinsip manusia supaya sentiasa istiqamah dengan pendirian yang benar dan tidak menjadi seperti lalang. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Tarmiziy dalam Sunannya. Syeikh al-Banniy mentakhrijkan hadith ini sebagai hadith daif dalam Daif al-Tarmiziy. Dalam bab fadhail boleh kita beramal dengan hadith ini. Prof. Dr. Yusuf al-Qardawiy menggunakan hadith ini sebagai hujah beliau dalam tulisan yang bertajuk "Membina Insan yang Soleh". Hadith yang diriwayat dari Huzaifat al-Yaman r.a (Sahib al-Sirriy al-Nabiy):

عن حذيفة اليمان رضي الله عنه قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تَكُوْنُوْا إِمَّعَةً، تَقُوْلُوْنَ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا، وَإِنْ ظَلَمُوْا ظَلَمَنَاْ، وَلَكِنَّ وَطِّنُوْا أَنْفُسَكُمْ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوْا، وَإِنْ أَسَاْءُوْا فَلَاْ تُظْلِمُوْا.
Maksudnya: “Daripada Huzaifat al-Yaman r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu jadi orang yang tidak mempunyai pendirian, kamu berkata: sekiranya manusia melakukan kebaikan, kami pun melakukan kebaikan, dan sekiranya mereka melakukan kezaliman, kami pun melakukan kezaliman, tetapi beristiqamah pada diri kamu, sekiranya manusia melakukan kebaikan, kamu melakukan kebaikan, dan sekiranya manusia melakukan kezaliman, kamu tidak melakukan kezaliman tersebut”.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarat ayat ke-14:

﴿ وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آَمَنُوا قَالُوا آَمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ ﴾
Maksudnya: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.