Thursday, 8 October 2009

..Khutbah Jumaat 9 Oktober 2009...Masjid SIS II Slim River Perak...


DOA UNTUK PALESTINE

الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وخير رسول أرسل وجعلنا خير أمة أخرجت للناس، وأشهد أن محمداً عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة وجاهد في الله خير جهاده ما ترك أمراً يقربنا لله إلا قربنا منه، نزل الله عليه الكتاب بيناً وهدى وبشرى للمسلمين، اللهم صلي وسلم وبارك على هذا النبي الكريم وعلى آله وصحابته، أما بعد فيا أيها الأخوة المسلمون، اتَّقُوْا اللهَ لعلكم تفلحون.

Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang bertakwa dan sentiasa mengerjakan amal soleh. Semoga  dengannya, kita mendapat kemuliaan dan kejayaan hakiki, Amin.
 “Janganlah kamu menganggap (berkata) mereka yang berjuang di jalan Allah (jihad) mati, bahkan mereka sebenarnya hidup tetapi kamu tidak mengetahui” 
                                                       -al-Baqarah ayat 154-

Hari ini telah di isytiharkan oleh Ketua Persatuan Ulama Arab Muslimin sedunia Syeikh Dr. Yusuf Qardawi sebagai hari يوم غضب لنصرة المسجد الأقصى المبارك،,  Hari Kemarahan terhadap bangsa Yahudi bagi menyelamatkan Masjid Al-Aqsa. Di wartakan dalam Persidangan Kewartawanan Arab Islam di Mesir pada hari Isnin baru-baru ini. Menggesa agar semua pemimpin Arab dan semua pemimpin Islam sedunia bersatu dalam menentang kekejaman dan kebiadaban bangsa Yahudi terhadap penduduk Islam Palestine yang semakin serius.



Situasi Masjid Al-Aqsa hari ini semakin genting. Satu demi satu cabaran yang sangat mengguris hati dan perasaan umat Islam dilakukan oleh bangsa Yahudi. Bermula dengan percerobohan Semenanjung Gaza, penduduk-penduduk Islam Palestine diruntuh rumah mereka, diperlakukan lebih hina dari binatang, merempat dan menggemis di tanah air sendiri, dihalang dari menunaikan solat berjemaah di masjid dan terbaru ini, seorang pemimpin Gerakan Islam Palestin Raed Solah telah ditangkap sekali lagi dan dipenjarakan kerana didakwa telah mencetuskan suasana tegang dan ancaman terhadap Israel. Kenyataan beliau yang menyeru umat Islam di wilayah Palestin untuk membela dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Ini kerana Masjid al-Aqsalah yang menyatukan umat Islam, Palestin dan Arab. Israel tidak memiliki hak ke masjid atau Yerusalem Timur. Kenyataan ini yang telah menyebabkan beliau dipenjarakan bertahun-tahun dan berulang kali masuk ke penjara Israel.



Pejabat Tentera Israel pada hari Rabu baru-baru ini mengeluarkan amaran bahawa pasukan Israel (Israel Defend Forces-IDF) akan melakukan kekerasan terhadap mana-mana penduduk Palestine yang datang menunaikan Shalat Jum'at di Masjidil Aqsha pada hari ini. Dan pasukan tentera Israel juga memberikan peringatan kekerasan ini juga akan berlaku di seluruh Jerusalem dan kota-kota di Tebing Barat. Sepanjang tempoh bulan September lalu, di Palestin dan Tebing Barat telah berlaku lebih 50 kali serangan, termasuk dua kali penembakan dan 45 kali serangan dengan menggunakan bom molotov.

Pada hari ini juga akan menjadi penentuan, kerana pada hari ini akan berlangsung shalat Jum'at, dan dalam waktu yang sama kelompok Yahudi merancang untuk melakukan acara di Tembok Ratapan. Ini akan mencetuskan konflik antara kaum muslimin yang melakukan shalat Jum'at dengan orang-orang Yahudi yang melakukan acara di Tembok Ratapan. Penduduk Palestine bukan sahaja diserang oleh tentera zionis Yahudi, tapi dalam waktu yang sama dikhianati oleh pemimpin mereka sendiri dari parti FATAH. Mahmud Abbas telah tunduk dan bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan Anggota Sisasatan PBB ke atas serangan yang telah mengorbankan hampir 1400 penduduk awam palestin pada Januari 2008. Abbas dianggap telah mengkhianati rakyat Palestina, kerana penundaan tersebut bermaksud menyelamatkan para pegawai Israel yang terlibat dalam kejahatan dan keganasan perang dan kemanusiaan di Semenanjung Gaza. Menjadi badut dan budak suruhan kepada AS dan Israel.

Dendam kesumat dan kezaliman orang-orang Yahudi terhadap Islam dan umat Islam tidak akan padam bermula dengan peristiwa hijrahnya Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah. Semenjak peristiwa hijrah yang memberi impak besar terhadap perkembangan Islam, Yahudi sentiasa merencanakan programnya bagi memastikan Islam akan lemah dan tidak diterima oleh manusia. Bermulalah perancangan- perancangan licik mereka dengan menggunakan pelbagai pendekatan, sama ada yang sulit mahupun yang terang bagi memastikan cita-cita mereka untuk menguasai dunia tercapai.

Contohnya, Perang al-Ahzab tercetus adalah disebabkan persengkokolan kabilah-kabilah Arab untuk menyerang Madinah hasil adu-domba dan hasutan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi setelah mereka mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah saw. Contoh lain pula, apabila Kota Konstinople berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh yang boleh menatijahkan Islam akan berkembang dengan pesat di benua Eropah, Yaaqub Basha (Miyastro Jacob) seorang doktor yang beragama Yahudi telah membunuh Sultan serta Panglima Perang ini, dengan meracunnya pada tahun 1487M.

Sejarah moden juga tidak ketinggalan mencatatkan, bagaimana pelbagai perancangan jahat mereka melalui pertubuhan zionis, telah menghasilkan negara haram Israel pada 14 Mei 1948 melalui perampasan tanah-tanah milik umat Islam hasil perjanjian Balfour pada tahun 1917. Persengkokolan zionis dengan negara-negara Eropah terutamanya Britain pada masa tersebut, telah menyebabkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin sehingga menjangkau 60 tahun lamanya sehinggalah kepada serangan besar-besaran melalui udara yang dilakukan oleh rejim zionis kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sekarang ini.

Pelbagai perjanjian yang dimeterai termasuklah perjanjian Oslo pada tahun 1993, namun kesemua perjanjian tersebut tidak memihak kepada rakyat Palestin sehingga kezaliman dan penindasan berterusan. Kemenangan HAMAS dalam pilihan raya telah menyebabkan sekatan dilakukan oleh rejim zionis sehingga menyebabkan penderitaan yang tidak dapat digambarkan dialami oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Bekalan makanan disekat, bekalan ubat-ubatan dinafikan, minyak dan gas dihalang, permit kerja dibekukan sehingga memberi kesan penderitaan yang amat perit untuk digambarkan. Tanpa peri kemanusiaan, rejim zionis melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh mereka tanpa menghiraukan bantahan masyarakat dunia, undang-undang antarabangsa dan protokol-protokol Geneva yang diluluskan oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat Semenanjung Gaza yang berjumlah 1.5 juta mengalami kelaparan, kesakitan berpanjangan, pengangguran dan kesusahan yang tidak boleh digambarkan.

Setelah pelbagai sekatan dijalankan tanpa ada reaksi daripada kerajaan negara-negara Arab yang berada di sekitarnya, rejim zionis menggerakkan ketenteraan tentera daratnya dengan kereta-kereta kebal buatan Amerika Syarikat untuk menjajah Semenanjung Gaza dengan didahului serangan udara yang amat dahsyat sehingga mengorbankan lebih daripada 300 rakyat Palestin. Apa yang lebih malang, sebuah keluarga yang mencari perlindungan daripada serangan tentera udara rejim zionis telah ditembak oleh pengawal sempadan negara Mesir di sempadan Rafah sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anaknya yang masih kecil. Inilah yang berlaku kepada rakyat Palestin yang bukan sahaja dizalimi oleh rejim zionis tetapi juga kerajaan negara Arab yang berada di sekitarnya.

Negara Palestin merupakan negara yang diberkati kerana ramainya para nabi diutuskan oleh Allah swt di situ, Palestin juga merupakan bumi yang subur dan merupakan negara yang dahuluinya dimiliki oleh umat Islam keseluruhannya. Pembebasannya telah dilaksanakan oleh Sayyidina Umar al-Khattab daripada cengkaman Rom Byzantine tetapi kemudiannya dijajah selama 88 tahun oleh tentera-tentera salib Eropah. Walaubagaimana pun, Solahuddin al-Ayyubi atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub berjaya membebaskan semula daripada kezaliman tentera salib pada tahun 1187M. Kata-kata yang pernah dinukilkan daripada Solahuddin yang berbangsa Kurdish ini mengenai Palestin ialah:

“Barangsiapa yang dapat menguasai Palestin (Masjid al-Aqsa), maka akan dapat menguasai dunia keseluruhannya”

Sesungguhnya bumi yang terdapat Masjid al-Aqsa sekarang ini telah dikuasai oleh rejim zionis melalui perancangan- perancangan licik mereka melalui kerjasama dengan negara-negara Eropah terutamanya Amerika Syarikat. Dengan kekuatan ketenteraan yang dimiliki, persepakatan yang jitu dan perancangan yang teliti, bumi ini telah dikuasai oleh bangsa yang pernah membunuh nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka. Bangsa ini jugalah yang pernah membakar Masjid al-Aqsa pada tahun 1967. Kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan memang telah didoktrinkan di dalam kitab suci mereka iaitu kitab Talmud dan pernah Khakam mereka (ulama Yahudi) telah mengeluarkan fatwa supaya bangsa Arab sama ada Islam dan Kristian, dihapuskan melalui penubuhan semula organisai 101 yang dipimpin Ariel Sharon. Pertubuhan inilah yang telah mengganas dan membunuh ribuan pelarian Palestin di Kem Shabra dan Shatila pada tahun 1982. Zionis sebenarnya tidak mengerti apa ertinya perjanjian perdamaian, zionis buta dengan resolusi-resolusi amaran, zionis adalah bangsa yang pekak dengan arahan menghentikan serangan dan zionis jugalah bangsa yang menganggap mereka bangsa pilihan tuhan. Untuk melawan mereka, bukanlah dengan kata-kata damai, perjanjian persefahaman dan persetujuan yang didokumenkan, tetapi ia memerlukan kekuatan jihad yang berpanjangan dari seluruh umat Islam.

Rakyat Palestin di Gaza sedang menghadapi pertarungan berseorangan tanpa bantuan daripada kerajaan negara-negara Arab dan Islam. Walaupun mereka bersendirian, mereka tetap melawan dengan kekuatan yang ada melalui pelancaran roket buatan sendiri yang mampu sampai ke sasaran 12 sehingga 40 km jauhnya. Inilah kekuatan pejuang Palestin yang amat ditakuti dan digeruni oleh Israel sehingga rejim ini mengarahkan serangan melalui udara dan darat kepada rakyat Palestin di Gaza. Mereka bertindak kerana mereka terancam dan takut dengan serangan yang dilakukan oleh para pejuang dan inilah sikap mereka sebenarnya yang membina tembok-tembok untuk melindungi mereka.

Kita semua mengetahui penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin tetapi apakah tindakan yang perlu kita lakukan bagi membantu saudara seakidah kita di Palestin serta menyelamatkan Masjid al-Aqsa daripada runtuh untuk digantikan dengan Haikal Sulaiman atau Temple Solomon. Adakah kita hanya menunggu keajaiban berlaku tanpa melakukan apa-apa dengan hanya melihat kezaliman terus berleluasa.? Adakah kita hanya mendiamkan diri dengan harapan orang lain yang membantu? Adakah kita semua terus menyepikan diri dengan membenarkan pembunuhan terhadap rakyat Palestin? Kita semuanya WAJIB membantu rakyat Palestin tidak kira siapa dan di mana kita berada. Rakyat Palestin mewakili umat Islam seluruh dunia berjihad menentang musuh Islam. Apabila para pejuang berjihad menentang musuh Islam, maka wajib kepada seluruh umat Islam membantu mereka. Kita akan dipersoalkan di akhirat, nanti apakah bantuan dan sumbangan yang telah kita berikan kepada perjuangan Jihad di Palestin. Kita semua akan disoal oleh ALLAH SWT.

Ingatlah, barangsiapa yang tidak mengambil berat ke atas urusan umat Islam maka sesungguhnya mereka bukan tergolong daripada mereka. (Maksud Hadith)

Rakyat Palestin memerlukan dan sentiasa mengharapkan doa kita, Palestin mengharapkan bantuan berterusan daripada kita semua, Masjid al-Aqsa mengharapkan munculnya Solahuddin al-Ayyubi bagi menyelamatkanya daripada diruntuhkan dan harapan ini tersandar kepada bahu-bahu kita semua. Bangunlah membantu Palestin!


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment