Ulama & Maulidur Rasul
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ…أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ...
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 144 surah ali Imran:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌۭ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ ۚ أَفَإِين مَّاتَ أَوْ قُتِلَ ٱنقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَٰبِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيْـًۭٔا ۗ وَسَيَجْزِى ٱللَّهُ ٱلشَّٰكِرِينَ
Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)? Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur.
Kita masih berada bulan Rabiul Awwal, bulan dalam memperingati Maulidurrasul s.a.w. Pujian ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w meniti di mulut-mulut umat Islam bagi menandakan betapa kasih dan sayangnya kita terhadap nabi yang banyak menabur jasa dalam menyampaikan risalah Islam. Nabi Muhammad s.a.w perlu dijadikan contoh teladan yang paling mulia oleh seluruh umat manusia dalam semua perkara samada dari segi akhlaknya, pemerintahannya, kemasyarakatannya dan seluruh kehidupannya.
Nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan segala kemewahan dunia kerana bimbang lebih ramai umatnya akan dikufurkan dan dihanyutkan oleh godaan dunia yang mempesona. Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan ketua keluarga, pemimpin negara, nabi kepada seluruh umat manusia telah menunjukkan kepada kita semua melalui percakapan dan perbuatannya yang berdasarkan wahyu bukannya nafsu tentang bagaimanakah cara yang terbaik di dalam mengejar keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Kini lebih 1400 tahun nabi Muhammad s.a.w meninggalkan kita, kerana keyakinan yang tinggi terhadap kebenaran dan kesucian Islam maka kita sebagai umat yang menyatakan bahawa kita lebih cintakan akhirat melebihi cinta kita terhadap dunia fana terus menerus memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam diri dan seluruh aspek kehidupan. Ini bagi membuktikan bahawa kita mahu menjadi golongan yang dikasihi dan dicintai oleh nabi iaitu golongan yang mencintai dan mengasihi nabi walau pun tidak pernah bertemu dengan baginda semasa hayatnya dan juga terus mengikut ajaran nabi dan memperjuangkan Islam.
Perjuangan dalam meneruskan dakwah Islam dan pelaksanaan seluruh sistem Islam yang melibatkan ibadat, kemasyarakatan, pemerintahan telah diwariskan kepada para ulama’ akhirat yang soleh dan bertaqwa. Hadis nabi yang menyatakan ” العلماء ورثة الأنبياء “iaitu para ulama’ itu merupakan pewaris para nabi dalam mengembangkan usaha dakwah dan melaksanakan seluruh amanah Allah dalam mentadbir dunia dengan hukuman Allah dan menjaga kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan kotor yang berusaha menjauhkan umat manusia daripada ajaran Islam yang menyeluruh. Nabi Muhammad s.a.w turut menyatakan bahawa umat manusia tidak akan sesat selama-lamanya jika terus menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman dalam setiap tindakan mereka.
Inilah betapa hebat dan terjaganya Islam di mana Allah telah menyatakan bahawa al-Quran terus terjaga daripada sebarang pengurangan atau penambahan oleh mana-mana pihak sehingga ia menjadi sumber tertinggi kepada seluruh umat manusia. Al-Quran tidak akan terjadi sebagaimana kitab Taurat dan Injil yang telah diselewengkan sesuka hati oleh paderi dan pendita yahudi dan kristian. Hadis nabi turut dijaga oleh ulama’ dari segi kesohihannya sebelum dijadikan hujah di mana para ulama’ hadis sentiasa berusaha dalam menolak hadis-hadis palsu agar kesucian hadis nabi terus terjaga.
Pemilihan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi turut meletakkan Islam sebagai agama yang berasaskan ilmu bukannya terdiri di atas kejahilan dan paksaan. Ulama’ akhirat perlu memikul amanah yang berat ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa. Memandangkan betapa besarnya peranan ulama’ dalam mengembalikan semula keagungan Islam sebagai agama yang memerintah dunia bukannya agama yang diperintah oleh manusia berdasarkan akal yang lemah bersesuaian dengan peranan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi maka musuh-musuh Islam terus memainkan peranan penting dalam memburuk-burukkan para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk Islam bukannya untuk kepentingan peribadi dan harta di dunia ini.
Yahudi dan Kristian terutamanya tidak senang duduk apabila melihat ulama’ menjadi ketua kepada umat Islam dalam memperjuangkan Islam. Kristian tidak dapat menafikan kepentingan paderi dan cerdik pandai mereka sebelum ini dalam menyebarkan kristian dan pembangkit semangat juang dalam menghancurkan Islam terutama semasa penjajahan tetapi setelah amalan sekularisme diamalkan akibat cengkaman paderi yang begitu kuat ke atas rakyat maka pengikut Kristian sendiri memisahkan di antara peranan paderi dan pemerintah. Kita juga dapat melihat peranan paderi dan ilmuan yahudi di dalam kerajaan Israel hari ini di mana paderi inilah yang memainkan peranan besar dalam menghasut umat yahudi terutama melalui kitab Talmud yang merupakan kitab yang paling keras menentang Islam dan bangsa selain daripada yahudi di mana paderi yahudi ini merupakan penyokong kuat terhadap kebiadapan dan penindasan ke atas umat Islam di bumi Palestin.
Tanpa peranan dan semangat yang ditanamkan oleh golongan ulama’, paderi, sami atau ilmuan dalam agama maka perjuangan seluruh agama tidak begitu kuat. Oleh itu kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya maka semestinya terus berada dibelakang para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk sama-sama meninggikan kalimah Allah yang tinggi. Biar dikeji, dicaci, dimaki dan dilontar dengan pelbagai tohmahan namun perjuangan Islam mesti terus diteruskan sehingga hari qiamat. Kita begitu yakin dengan janji kemenangan oleh Allah kepada Islam yang sempurna ini. Waktu dan ketika untuk datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah itu sudah begitu hampir. Cuma persediaan kita dalam melahirkan diri sebagai umat yang bakal dianugerahkan dengan kemenangan yang dijanjikan ini sahaja yang mesti disiapkan segera. Tiada lagi masa untuk kita berehat dan bergurau senda untuk mencapai perkara ini.
Kekuatan Islam juga tidak berdiri di atas kekuatan perseorangan tetapi ia tertegak di atas kekuatan jemaaah. Perjuangan Islam mesti dilakukan ikhlas kerana Allah bukannya disebabkan seseorang pemimpin. Oleh itu Allah sendiri mengingatkan umat Islam agar tidak kembali murtad disebabkan kewafatan nabi kerana nabi merupakan pemimpin yang juga akan mati setelah selesainya tugas yang dijalankan. Tugas dan peranan nabi selepas itu mesti diteruskan oleh para ulama’ bukannya terhenti dengan kewafatan nabi s.a.w. Kita ingat bagaimana adanya umat Islam yang kembali murtad dan ramai yang lemah semangat serta tidak kurang yang tidak dapat menerima hakikat bahawa nabi telah wafat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sendiri sehingga dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah di hadapan para muslimin dan mengeluarkan kata-katanya yang tegas:
أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات ، ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت
Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati.
Oleh itu kita jangan letakkan perjuangan disebabkan seseorang tetapi ia mesti dilakukan secara jemaah agar kekuatan dan perjuangan Islam terus kuat dan utuh. Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah.
لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌۭ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ. فإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُلْ حَسْبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ.
Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
No comments:
Post a Comment