Tuesday 15 February 2011

Khutbah Jumaat


ISLAM DITEGAK PENINDASAN JAHILIAH DITOLAK
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Sempena kedatangan bulan Maulidurrasul maka kita sepatutnya menggandakan lagi usaha dalam menonjolkan kehebatan nabi dan sistem Islam yang telah disampaikannya kepada kita. Tanamkan dalam diri umat Islam bahawa inilah contoh teladan yang sebenar untuk diikut terutama ketika semakin ramai umat Islam sendiri tidak lagi mengenal nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia hebat dan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sesuai dengan pengutusannya untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Setiap kali kita menyebut bagaimana dahsyatnya zaman jahiliah di mana nafsu serakah menjadi ikutan sehingga anak perempuan ditanam hidup-hidup di samping seribu macam penindasan dan kesesatan yang lain. Namun begitu bila berdepan pula dengan jahiliah moden di mana ubat mujarrab iaitu al-Quran ada di depan mata tetapi racun diguna pakai sehingga bukan setakat anak perempuan yang dibunuh malah anak lelaki turut menjadi mangsa di samping pelbagai penyakit sosial yang lain terus merebak dan membarah.
Malah pada tahun ini bagaikan berlakunya pertembungan antara sambutan memuja Paderi Valentine yang berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi dengan sambutan memperingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w pada keesokan harinya. Ramai di kalangan umat Islam terutama golongan remaja lebih teruja untuk menyambut Hari Kekasih berbanding mencontohi nabi Muhammad s.a.w manusia agung yang begitu kasih pada umatnya. Ingatlah bahawa kasih sayang wajib ada sepanjang masa bukan pada hari tertentu sahaja serta saluran untuk menyatakan kasih sayang mestilah bertepatan dengan syarak bukannya mengikut hawa nafsu apatah lagi meniru budaya agama lain. Manusia yang paling wajib kita kasih ialah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan ini kita menyeru agar umat Islam supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri:
قال الرسول : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟
Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka
Pengutusan nabi Muhammad s.a.w berjaya mengubah dunia kepada keadaan yang lebih baik yang bukan sahaja dirasai oleh umat Islam malah seluruh umat manusia serta makhluk Allah yang lain. Namun pada hari ini suasana gelap jahiliah kembali mencemari dunia termasuk di negara umat Islam sendiri akibat sistem Islam digantikan dengan sistem jahiliah. Contohnya cara pemakaian yang mendedah aurat lebih suka dipakai sama ada lelaki atau perempuan. Malah kaum perempuan lebih suka berpakaian dengan mendedah tubuh, yang memakai tudung tetapi tubuhnya pula terdedah sana-sini. Itu belum dikira orang lelaki yang memakai gelang, rantai leher, subang telinga dan pelbagai macam cara jahiliah yang dianggap baik sedangkan hakikatnya tidak. Begitu hebatnya godaan syaitan dan jarum Yahudi yang menyerang cara pemakaian umat Islam. Inilah antara kesan dahsyat bila umat Islam tidak menjadikan nabi sebagai contoh teladan sebaliknya para artis, atlet sukan dan lain-lain sebagai ikutan.
Malah ketika negara sedang menghadapi masalah penyakit tekanan jiwa yang begitu kronik maka sepatutnya cara Islam diguna pakai seperti nasihat Ibnu Mas’ud bila jiwa kami bercelaru maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah.  Musuh Islam tidak akan meruntuhkan masjid sebaliknya akan memperbanyakkan tempat dan program hiburan agar umat Islam menjauhi masjid. Musuh Islam tidak membakar al-Quran sebaliknya menyibukkan umat Islam dengan urusan dunia yang banyak dijadikan alasan tiada masa untuk belajar al-Quran apatah lagi memahami isi kandungan seterusnya melaksanakannya.
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Umat Islam dijadikan umat pilihan oleh Allah untuk dicontohi oleh orang lain sekiranya kita menunaikan segala kewajipan agama dengan sebaiknya. Sebaliknya pada hari ini umat Islam bagaikan tidak mampu menunjuk contoh yang terbaik kepada orang lain akibat menjauhi cara hidup Islam. Contohnya betapa ramai umat Islam yang tenggelam dalam hiburan melalaikan hingga terlibat dengan arak dan dadah atas alasan untuk mencari ketenangan. Inilah yang diperingatkan oleh Sayyidina Ali bahawa hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Keindahan Islam dihalang oleh keburukan akhlak yang ditonjolkan oleh umat Islam sendiri. Selagi umat Islam mencari sistem yang bercanggah dengan al-Quran selagi itulah kita dihina. Selagi umat Islam menjadikan contoh teladan pada manusia yang membenci cara hidup nabi selagi itulah kita tidak menemui ubat mujarab sebaliknya menelan racun berbisa. Ambillah iktibar daripada kejatuhan Kerajaan Islam India walau pun ratusan tahun memerintah India namun antara punca jatuhnya kerajaan akibat khalifah mendengar hasutan menterinya agar tidak menjalankan dakwah kepada rakyat India yang beragama Hindu atas alasan jika mereka kekal kafir maka kutipan jizyah semakin banyak sedangkan jika rakyat India memeluk Islam menyebabkan wang zakat dan Baitul Mal habis dibelanjakan untuk diberikan kepada muallaf. Akhirnya apabila rakyat India terus kekal dengan Hindu yang menyebabkan mereka bangkit menjatuhkan kerajaan Islam. Oleh itu sebarlah Islam mengikut kemampuan kita dengan ilmu dan pelaksanaan. Ramaikan orang yang cintakan Islam dalam negara, kurangkan musuh yang bencikan Islam barulah kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat . Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah:
إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah al-A’araf :
قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ قَالُوا أُوذِينَا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَأْتِيَنَا وَمِنْ بَعْدِ مَا جِئْتَنَا ۚ قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
(Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”
Ketika menyoroti kejatuhan pemimpin kuku besi satu demi satu dalam masa terdekat bermula di Tunisia kini merebak ke Mesir dan membahang di Yaman maka kita ingat kepada kata-kata semangat nabi Musa a.s kepada bani Israel bahawa sekuat-kuat Firaun dengan pangkat menggunung, harta bertimbun, pengikut berduyun namun akan dijatuhkan akibat kesesatan dan kezaliman. Apa yang lebih penting ialah setiap keruntuhan jahiliah mestilah diganti dengan Islam bukannya sekadar menukar kepada jahiliah yang baru. Begitulah sunnatullah yang berlaku sehingga hari ini di mana pemimpin yang zalim dan menindas rakyat dengan cara yang hampir sama iaitu membina kekayaan keluarga atas penderitaan rakyat jelata, mengekalkan kuasa dengan penipuan yang menyebabkan mereka dijatuhkan dengan cara hina melalui kebangkitan rakyat di jalan raya. Kita panjatkan doa kepada Allah agar diselamatkan warga dan pelajar Malaysia di Mesir serta menukar pemimpin dan corak pemerintahan kepada Islam bukannya terus menjadi boneka kepada Amerika dan Yahudi Israel. Semoga kebangkitan ini memberi sinar kepada Islam dalam menghentikan keganasan dan penindasan termasuk petanda awal kejatuhan penjenayah dunia Amerika dan Yahudi Israel serta sekutu jahat musuh Islam yang lain. Allah telah menjanjikan kepimpinan dan pemerintahan kepada hambanya yang soleh bagi memastikan keamanan dunia yang diurus berasaskan agama. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment