Wednesday, 29 June 2011

Warkah Hari Lahir...



Semakin bertambah umur kita setahun, semakin dekat kepada ajal. Ini bermaksud semakin hampir pula dengan liang kubur. Kerana itu hendaklah umur kita yang ada sekarang ini dapat kita gunakan sebaik-baiknya sebelum datangnya ajal, sebelum umur kita bercerai dengan badan. Jangan terlambat dan jangan kita terperdaya kerana kekuatan kita, kerana kekayaan, kerana pengaruh besar, semuanya itu akan berakhir bila malaikat maut sudah menceraikan roh dari badan.
Masa berlalu dengan pantas. Setiap detik masa berlalu maka semakin sikitlah usia kita. Usia yang berbaki sepatutnya digunakan untuk mengabdikan diri kepada sang Pencipta yang Maha Esa. Berbahagialah mereka yang umur panjang dan beramal soleh dengannya. Rugilah mereka yang umur panjang tetapi mensia-siakan umur itu ke jalan maksiat. Bergembiralah mereka yang umurnya pendek tetapi masih sempat beramal kepada Allah s.w.t. Amatlah malang mereka yang pendek umurnya tetapi tidak sempat untuk beribadah kepada Allah s.w.t.
Sudah menjadi semacam budaya dalam kalangan umat Islam untuk menyambut hari lahir. Islam tidak pernah melarang sambutan ini selagi mana ia tidak bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Tapi rata-rata kita lihat hari ini sambutan hari lahir sudah banyak dipengaruhi dengan budaya barat. Paling mudah contohnya upacara meniup lilin dan membuat ‘wish’ sebelum meniup lilin. Budaya manakah yang diambil ini kalau tidak diaptasi dari budaya agama KRISTIAN? Islam mengajar kita waktu-waktu yang mustajab doanya disisi Allah s.w.t, banyak masa yang doanya terus sampai kepada Allah s.w.t dan tidak ada sebab kenapa Allah s.w.t. menolak permintaan hambanya yang soleh? Tetapi tidak pernah ada satu pun dalam waktu-waktu mustajab doa ini ketika mana sebelum meniup lilin kek sambutan hari jadi. Berfikirlah sejenak sebagai seorang muslim dengan berpandukan Iman dan jangan sesekali menggadai prinsip agama semata-mata untuk kelihatan moden.
Itu belum lagi sambutan yang lebih dahsyat dengan percampuran lelaki dan perempuan, majlis tari menari dan nyanyi menyanyi bahkan lebih teruk lagi ada juga dalam kalangan umat Islam yang menyambut hari kelahiran dengan menghidangkan minuman arak dan akhirnya menjurus kepada perbuatan zina. Apa sebenarnya yang mahu ditunjukkan dalam sambutan seperti ini. Adakah ini sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t yang masih memanjang usia kita yang dipinjamkan bersifat sementara sahaja, atau pun golongan ini tidak tahu apakah matlamat sebenarnya mereka ini dihidupkan oleh Allah s.w.t di atas muka bumi ini. Antara panduan dan garisan umur kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t untuk tatapan individu yang bernama muslim:
* Allah s.w.t berfirman “ Tidak aku ciptakan jin & manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”- az-Zariat: 56.
* Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik amalannya dan seburuk-buruk manusia yang panjang umurnya tapi jahat amalannya. – al-Hadith-
* Sesiapa yang sudah masuk umurnya empat puluh tahun tetapi kebaikannya belum dapat mengalahkan kejahatannya, maka lemparkanlah saja ke dalam api neraka jahanam. –al-Hadith-
* Rasulullah SAW bersabda: Belum lagi hilang jejak telapak kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga kepadanya telah diajukan empat pertanyaan: “Dari hal umurnya ke mana dihabiskan, dari hal ilmunya apa saja yang sudah diamalkannya dengan ilmunya, dari hal harta dari mana diperolehnya dan untuk apa di belanjakan dan dari hal tubuhnya untuk apa digunakan”
* Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: “Pergunakanlah sihatmu sebelum datang sakitmu, gunakanlah lapangmu sebelum datang kesempitan, gunakanlah masa mudamu sebelum datang masa tuamu, gunakanlah masa kayamu sebelum datang masa miskinmu dan gunakanlah hidupmu sebelum datang saat kematianmu”
Selesai sahaja jasad disemadikan, belum lagi hilang jejak telapak kaki manusia yang mengantarkan ke kuburan, perkara pertama yang ditanyakan Allah ialah mengenai umur, kemana dihabiskan dan untuk apa di gunakan. Pada waktu itu tidak dapat berdusta sedikit pun, sebab seluruh anggota badan menjadi saksi tentang apa dan untuk apa dipergunakan umur yang sekian puluh tahun dipakai. Barulah pada hari itu timbul penyesalan yang mana penyesalan tidak berguna lagi sebab pintu rahmat dan ampunan sudah ditutup dan sesal kemudian tak ada gunanya lagi. Menangislah, merataplah kerana menyesali perbuatan-perbuatan pada waktu itu, namun tangisan dan ratapan itu tidak dapat menolong  dan tidak bermanfaat walaupun sedikit. Umur akan melaporkan kepada Allah semua apa telah di perbuat dan di kerjakan di dunia, dengan tidak dapat dikurangi dan ditambah sedikitpun. Umur akan menceritakan dihadapan Allah s.w.t nantinya, bahawa selama ini berada di tubuh si anu sekian tahun lamanya, sekian kali dibawa bermaksiat, berjudi dan lain sebagainya. Bagi manusia yang beriman kapada Allah pasti mempercayai bahwa pada suatu saat yang telah ditentukan umurnya akan bercerai dengan badan bila ajalnya sudah datang dan dia berpulang ke rahmatullah buat mempertanggungjawabkan umurnya kepada Allah. Bila kepercayaan ini sudah tumbuh dan sudah menjadi keyakinan yang kuat, masing-masing manusia tentu akan berhati-hati untuk sisa umurnya yang tinggal ini, yaitu penghabisan umur yang baik. Bermohonlah kepada Allah s.w.t moga usia yang berbaki ini diberkati, tubuh badan yang sihat agar mudah untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. “Demi Masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran”

No comments:

Post a Comment