Sunday, 22 May 2011



“Kita adalah kaum yang Allah s.w.t muliakan dengan Islam, barang siapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam maka ia dihina oleh Allah s.w.t”
-Saidina Umar al-Khatab-
 
Saidina Umar al-Khatab r.a bersama sahabat antaranya (Khalid bin Al-Walid, Muawiyyah bin Abi Suffiyan & Abdullah bin Jarrah r.a) pergi ke Syam untuk membuka Baitul Maqdis dari kristian, dan apabila saidina Umar mahu menerima kunci Baitul Maqdis dari panglima kristian, beliau datang dalam keadaan memakai pakaian yang compang-camping. Ditegur oleh sahabat yang berada ketika itu supaya beliau memakai pakaian yang cantik sebab supaya nampak hebat oleh orang kristian. Saidina Umar r.a menjawab dengan tegas dengan mengatakan kalau orang lain yang menegur aku, aku masih boleh terima, tetapi aku tidak boleh terima ia keluar dari mulut seorang muslim lantas mengungkapkan kata-kata di atas. Kita bangsa dimuliakan oleh Allah s.w.t bukan disebabkan oleh pakaian kita, pangkat kita dan sebagainya, sebaliknya kita dimuliakan oleh Allah s.w.t adalah disebabkan Islam.

Thursday, 19 May 2011

Khutbah Akhir di Masjid Slim River...(setelah di edit)




Khutbah Jumaat (20/5/2011) Ketakutan

الحَمْدُ للهِ حقَّ حَمْدِهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عبدُ للهِ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وسَلَّمَ تسليماً كثيراً، أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتقوا الله الواحدُ القهار، يا أولى الألباب لعلكم تفلحون...
Sifat takut, adalah salah satu daripada cabang naluri atau fitrah manusia. Allah s.w.t mencampakkan rasa takut ke dalam diri manusia, salah satu tujuannya adalah untuk menjadi alat yang menyelamatkan manusia daripada kemudaratan.
Takut kepada panas, menyelamatkan manusia daripada tercedera memegang api. Takut kepada penyakit dan kesakitan,  menjadikan manusia berusaha lebih untuk menjaga kesihatan. Takut kepada rompakan dan kehilangan, manusia akan menjaga aspek-aspek sekuriti di kediaman masing-masing. Semua perasaan takut itu adalah untuk membantu manusia menjaga kualiti hidupnya kerana untuk selamat, manusia perlu bertindak lebih pantas daripada proses berfikir. Takut menghasilkan tindakan spontan yang diperlukan.
Begitu jugalah dengan sifat-sifat kontras yang lain di dalam diri manusia. Sifat marah, cemburu, dendam, letih dan mengantuk, biar pun lazimnya dianggap negatif, hakikatnya ia mempunyai peranan yang tersendiri dalam menghasilkan manfaat dan mencegah mudarat dalam kehidupan manusia.
وَنَفسٍ وَمَا سَوَّٰىهَا* فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَىهَا* قَد أَفلَحَ مَن زَكَّىٰهَا وَقَدخَابَ مَن دَسَّىٰهَا*
“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa, Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”.                                                                          [Al-Syams  91: 7-10]
Sifat takut ini boleh berubah daripada baik kepada buruk, apabila ia tidak diletakkan kena pada tempatnya. Apabila perasaan takut itu melebihi keperluannya, maka manusia yang selamat kerana memanfaatkan rasa takut yang betul, berubah menjadi manusia yang penakut hingga merosakkan diri. Justeru Allah s.w.t mengingatkan orang-orang yang beriman, agar belajar menguruskan ketakutan. Mereka juga diberi peringatan supaya menyiapkan diri, bahawa ada keadaannya, orang-orang yang beriman ini akan diuji oleh Allah s.w.t dengan beberapa cabaran kehidupan termasuk ujian berupa ketakutan. Firman Allah s.w.t:
وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَىءٍ مِّنَ ٱلخَوفِ وَٱلجُوعِ وَنَقصٍ مِّنَ ٱلأَموَٲلِ وَٱلأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ.
“Dan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan hasil buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar”                                                                       [Al-Baqarah 2: 155]
Di dalam ayat ini, Allah Azza wa Jalla menerangkan kepada kaum yang beriman bahawa keimanan mereka kepada Allah harus meningkat dari satu tahap ke satu tahap, dan peningkatan itu berlaku melalui kejayaan mereka menangani dan menguruskan beberapa ujian kehidupan. Antara yang disebut di dalam ayat ini ialah ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, ancaman nyawa, kehilangan sumber tanaman atau sumber pendapatan.
Inilah bentuk ujian yang akan melazimi kehidupan orang-orang yang beriman. Kesemuanya datang dengan maksud yang jelas, iaitu sebagai desakan daripada Allah untuk menzahirkan siapakah di kalangan kita yang akan bertindak secara yang terbaik di dalam hidup ini, tatkala berdepan dengan ujian-ujian berkenaan. Firman Allah s.w.t:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلمَوتَ وَٱلحَيَوٰةَ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلاً وَهُوَ ٱلعَزِيزُ ٱلغَفُورُ
Dialah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan kamu sebagai ujian untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).                                                                                                      [al-Mulk : 2]
Antara ujian yang tersenarai itu, Allah s.w.t meletakkan ujian ketakutan sebagai ujian pertama, kerana ketakutan itu boleh bersarang dan menguji manusia sebelum ujian yang sebenarnya terjadi. Seorang yang mahu mengamalkan Islam, mungkin membayangkan kesusahan hidupnya apabila pilihannya tidak disenangi rakan, susah mahu naik pangkat, susah mahu dapatkan tender, dan pelbagai lagi kerisauan dan ketakutan yang muncul di dalam diri, sebelum ia sebenar-benarnya berlaku. Bahkan mungkin ia tidak akan berlaku.
Justeru, seorang mukmin diperingatkan oleh Allah s.w.t supaya membina kekuatan dan keberanian sebagai sebahagian daripada pembinaan iman. Allah s.w.t memujuk orang-orang yang beriman agar membuang rasa takut Sesungguhnya sebesar mana sekali pun ujian yang mendatang, ia hanya secebis dan sedikit daripada ketakutan yang sebenar di akhirat kelak.
Jika kita takut dengan cakap-cakap orang apabila kita memilih untuk menutup aurat, sebesar manakah ketakutan itu jika dibandingkan dengan ketakutan akhirat tatkala kealpaan kita daripada mematuhi Allah bakal menerima akibatnya yang Maha Dahsyat. Jika kita takut kepada sedikit kehilangan harta benda semata-mata kerana menolak rezeki yang haram, apalah sangat ketakutan itu berbanding ketakutan ancaman Allah untuk membakar setiap inci daging tubuh yang tumbuh dari sumber yang haram?
Sesungguhnya ketakutan di dunia, hanya ketakutan yang sedikit. Maka janganlah sekali-kali perasaan takut menyebabkan kita hilang keupayaan dan kekuatan untuk mentaati Allah di akhir zaman yang penuh fitnah ini. Ia hanya mengundang kehinaan diri, apatah lagi jika ketakutan itu ditambah lagi pula dengan rasa cinta yang mendalam kepada dunia dan kehidupan.
Di dalam sepotong hadith yang panjang, berlaku sahabat bersama Rasulullah s.a.w:
عن أبي عبد السلام، عن ثوبان، قال، قال رسول الله: "يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها"، فقال قائل: ومن قلة نحن يومئذ؟ قال: "بل أنتم يومئذ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السيل، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن في قلوبكم الوهن"، فقال قائل: يا رسول الله وما الوهن؟ قال: "حب الدنيا، وكراهية الموت "
“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya,”apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w menjawab, “bahkan kamu pada hari itu ramaisekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab,” CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI” [Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh al-Albani]
Sesungguhnya jangan kita hairan terhadap nasib umat Islam yang ditekan dan dihina pada hari ini. Allah mencabut rasa gerun dari jiwa musuh terhadap kita, disebabkan oleh penyakit hina yang membelenggu diri. Itulah penyakit WAHAN. Cintakan dunia, dan membenci kematian.
Lupakah kita kepada seruan tentera Saad bin Abi Waqqas semasa masuk ke daerah tanah besar China?
نحن قوم نحب الموت كما تحبّون أنتم الحياة
“Kami adalah kaum yang mencintai kematian seperti kamu cintakan kehidupan”
Kata-kata itu bukan ancaman bunuh, tetapi suatu penegasan terhadap prinsip dan keseriusan umat Islam terhadap visi dan misi hidupnya. Kata-kata itulah yang menjadikan Islam, diterima dan berkembang luas di China, lama sebelum Islam menjengah Kepulauan Melayu, suatu ketika dahulu. Buangkanlah rasa takut yang membelenggu kita daripada berperanan dalam kehidupan.
TIDAK TAKUT
Hari ini, kita berdepan dengan suatu fenomena yang luar biasa. Ketika orang yang baik-baik semakin takut-takut untuk mempertahankan prinsip dan keimanannya kepada Allah, manusia yang lupakan Allah pula semakin hilang rasa takut dalam kehidupan. Manusia menjadi terlalu berani, hingga mereka sanggup melakukan kerja-kerja yang merbahaya, tanpa sebarang manfaat atau sebab yang layak untuk  berkorban hingga mati, bah kan lebih dahsyat lagi munculnya golongan yang mengaku Islam tetapi dalam waktu yang sama mereka ini tidak takutkan Allah s.w.t. Lebih teruk lagi mereka ini menjadikan agama sebagai bahan mainan dan gurau senda untuk kepentingan-kepentingan tertentu. Ayat-ayat Allah s.w.t ditukar ganti dengan nilai dunia yang tidak seberapa, hukum Allah s.w.t diperlekehkan dan dipandang jelek, Al-Qur’an dan Hadith nabi dipinggirkan dan hanya diguna pakai dalam keadaan-keadaan tertentu. Inilah golongan manusia yang nyatakan oleh Allah s.w.t:
وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَهُم لَعِبًا وَلَهوًا وَغَرَّتهُمُ ٱلحَيَوٰةُ ٱلدُّنيَا وَذَكِّر بِهِۤ أَن تُبسَلَ نَفسُ بِمَا كَسَبَت لَيسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعدِل كُلَّ عَدلٍ لَّا يُؤخَذ مِنهَاۗ أُوْلَـئكَ ٱلَّذِينَ أُبسِلُواْ بِمَا كَسَبُواْ‌ۖ لَهُم شَرَابٌ مِّن حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمُ بِمَا كَانُواْ يَكفُرُونَ
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)”. –al-An’am:70-
Suasana hari ini juga melihatkan hilangnya perasaan takut dalam kalangan anak-anak muda. Anak-anak semakin liar dan berani, hingga tiada sekelumit rasa takut di jiwa mereka kepada ibu bapa dan guru. Golongan yang digelar sebagai Mat Rempit tidak takut dengan ancaman kematian, atau kecacatan diri yang serius andai mereka terlibat di dalam kemalangan jalan raya, malah ada sesetengah program yang secara sengaja, mencabar ketakutan manusia untuk fitrah itu dilumpuh, dibunuh atau dimatikan sepenuhnya. Rancangan seperti Fear Factor, adalah rancangan yang secara khusus menyediakan ruang untuk manusia bertanding membuang rasa takut di dalam diri mereka.
Apabila anak-anak ini tidak takut kepada ibu bapa dan guru, apabila Mat Rempit menganggap hukuman undang-undang, pecah kepala berderai otak, dan lumpuh separuh badan hingga menjadi beban kepada ibu bapa, semua ini dianggap sekadar gurauan dan permainan, seluruh masyarakat menanggung sakitnya. Seluruh anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik dan taraf pendidikan, kesemuanya menanggung kesusahan dan ancaman, kerana hilangnya rasa takut daripada naluri manusia seperti ini.
Lebih membimbangkan, terhapusnya rasa takut itu dari jiwa para penjenayah! Biar pun hukuman gantung diperkenalkan sebagai hukuman mandatori ke atas kesalahan pengedaran dadah, jenayah itu tidak pernah merosot. Pelbagai undang-undang diperkenalkan untuk mengekang jenayah dan mengugut pelakunya, tiada sebarang peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan itu, mampu menimbulkan rasa takut dan gerun di jiwa penjenayah dan masyarakat keseluruhannya. Disebabkan tiada perasaan takut terhadap undang-undang, maka kadar jenayah semakin tinggi. Penjenayah semakin berleluasa dan mereka ini seolah-olah bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa ada sekatan. Apabila penjenayah sudah tiada rasa takut, ia menjadi bencana yang menimpa seluruh anggota masyarakat. Tidur malam tidak lena, berjalan siang resah menyerang, setiap detik dan saat adalah peluang untuk jenayah berlaku dan kita mungkin mangsa yang berikutnya.
Sesungguhnya, hanya ada satu sahaja undang-undang yang memilik unsur ketakutan. Undang-undang ini tidak kejam tetapi ia amat mengkucar kacirkan fikiran manusia. Belum lagi ia dilaksanakan, penyataan untuk melaksanakannya sudah cukup menimbulkan pelbagai huru hara dalam kehidupan manusia. Ianya terus menjadi isu untuk menakut-nakutkan orang Islam dan bukan Islam. Orang yang tidur bangkit terjaga. Orang berjaga mengigau di siang masa. Orang cerdik menjadi bodoh. Orang bodoh semakin Nampak kejahilannya.
Itulah hukuman Allah. Hukuman yang ditentukan oleh Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai hati manusia. Tuhan yang membuka hati kepada rasa takut, dan Tuhan yang menutup hati hingga tercabut kegerunan dan ketakutan. Hukuman itu adalah resepi tunggal, untuk manusia bisa ditundukkan kembali kepada undang-undang dan kehidupan berperaturan. Hukum Allah, tatkala ia dibawa ke meja perbincangan, sudah cukup untuk menimbulkan rasa bimbang, rungsing dan takut yang membingungkan. Kenyataan-kenyataan seperti makan sup tangan, atau jalan tidak berturap kerana batu habis terpakai untuk merejam penzina dan macam-macam lagi kenyataan lucu yang menyakitkan iman pada yang mendengarnya, timbul di sana sini.
Kehuru-haraan itu bukanlah terjadi secara kebetulan. Ia berbalik kepada unsur-unsur khusus yang terdapat di dalam falsafah undang-undang Qisas, Hudud dan Takzir itu. Misalnya Allah s.w.t berfirman:
وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقطَعُواْ أَيدِيَهُمَا جَزَاءَ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلاً مِّنَ ٱللَّه‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ.
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.                                                                   [al-Maaidah 5: 38]
Takut itu adalah perasaan hati. Hati itu milik Allah. Allah jua yang mencampakkan rasa gerun di hati manusia yang dikehendaki-Nya. Dan kehendak Allah itu hanya dapat diraih apabila formula dan acuan (sibghah) Allah diguna pakai. Sesungguhnya unsur nakaalan minallah itulah yang tidak wujud di dalam hukum hakam yang lain. Biar sekejam kerusi elektrik, biar sejelek gantung sampai mati, biar sengeri tembak di khalayak ramai, ia tidak mampu menghasilkan nilai cegahan kerana cegahan itu adalah urusan Allah.
Cegahan inilah yang bisa mencegah manusia dari menjamah jenayah. Ketakutan yang dicampakkan Allah ke dalam hati manusia, bertujuan untuk mencegah dirinya, dan manusia lain daripada kerosakan yang membinasakan.
Ia bukan sekadar ketakutan yang mencegah pencuri telur ayam, tetapi juga para bangsawan yang seleranya sebesar perbendaharaan negara. Rasa gerun untuk mengekang manusia berpangkat tinggi dari bermaharajalela menyelewengkan harta rakyat.
Cegahan inilah yang bisa menghentikan kegiatan menjual beli undang-undang. Sebuah negara di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak pernah musnah kerana miskin harta dan pembangunan. Tetapi keseluruhan hidup manusia menyaksikan negara segagah empayar Rom dan Parsi, Utara dan Selatan, Timur dan Barat musnah apabila manusia tidak lagi mampu dicegah dari kejahatan. Apatah lagi kezaliman bangsawan dipejamkan mata dan kesalahan si miskin diheret  sepuas-puasnya. Fahamilah pengertian hadith nabi s.a.w yang mengambarkan prinsip seorang pemimpin yang sejati, yang tidak menjadikan kedudukan dan pangkat sebagai jaminan untuk keluarga baginda.
أيها الناس! إنما أهلك من كان قبلكم، أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف تركوه، وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد، وايم الله ـ يعني أقسم بالله ـ لو أن فاطمة بنت محمد سرقت،  لقطعت يدها.
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya”                                                        [متفق عليه]
Inilah pakej berupa ancaman dari Allah dan Rasul buat sekalian pencuri dan penjenayah, baik dia itu rakyat biasa yang mencuri basikal di rumah jiran, mahu pun bangsawan yang merompak perbendaharaan negara untuk kepentingan hawa nafsu mereka. Apa sahaja ancaman lain, tidak bisa menimbulkan rasa gerun dan takut di hati penjenayah. Walaupun manusia sudah begitu moden, ketakutan mereka masih ortodoks… menggeruni apa yang digeruni oleh manusia zaman berzaman. Hanya hukuman Allah yang mampu menggerunkan HATI… tempat jatuh pandangan Allah.
الّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخشَونَهُ ۥ وَلَا يَخشَونَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًا.
(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).                           [al-Ahzab 33:39]
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ والسنةِ وَنَفَعَنا وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِما مِنَ الآيَاتِ والحكمة وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ الجليل لِيْ وَلَكُمْ وَلكآفةِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ مِنْ جميع الذنوب والخاطئات فَاسْتَغْفِرُوْهُ وتوبُ اليك إنه هو التوّبُ الرحيم.

*Petikan asal saifulislam.com

Sunday, 15 May 2011

حديث عن التقوى


حدثنا ‏أبو بكر بن أبي النضر ‏حدثنا ‏أبو النضر ‏حدثنا ‏أبو عقيل الثقفي عبد الله بن عقيل ‏ ‏حدثنا ‏عبد الله بن يزيد ‏حدثني ‏ربيعة بن يزيد ‏وعطية بن قيس ‏عن ‏عطية السعدي ‏ ‏وكان من ‏ ‏أصحاب النبي ‏صلى الله عليه وسلم ‏قال، ‏قال رسول الله ‏صلى الله عليه وسلم لَا يَبْلُغُ الْعَبْدُ أَنْ يَكُونَ مِنْ الْمُتَّقِينَ حَتَّى يَدَعَ حَذَرًا لِمَا بِهِ بَأْسٌ - هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ، وَأَخْرَجَهُ اِبْنُ مَاجَهْ وَالْحَاكِمُ.

شرح الحديث:
1. في باب الورع وترك الشبهات فيما نقله عن نافع عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أن أمير المؤمنين عمر بن الخطاب فرض للناس أعطياتهم من بيت المال، فجعل للمهاجرين أربعة آلاف وجعل لابنه عبد الله ثلاثة آلاف وخمسمائة. وابنه عبد الله مهاجر، فنقصه عن المهاجرين خمسمائة من أربعة آلاف فقيل له: إنه من المهاجرين فلماذا نقصته؟ قال: إنه هاجر به أبوه ولم يهاجر هو بنفسه وليس من هاجر به أبوه كمن هاجر بنفسه وهذا يدل دلالة عظيمة على شدة ورع أمير المؤمنين عمر بن الخطاب رضي الله عنه.

2. هذا اشتبه مباح بمحرم، وتعذر التمييز بينهما فإنه من تمام اليقين والتقوى أن تدع الحلال خوفا من الوقوع في الحرام .وهذا أمر واجب كما قاله أهل العلم: أنه إذا اشتبه مباح بمحرم وجب اجتناب الجميع لأن اجتناب المحرم واجب ولا يتم إلا باجتناب المباح، وما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب. فقد كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أشد الناس حرصا على هذا فقد روى أنس أن النبي صلى الله عليه وسلم وجد تمرة في الطريق فقال (لولا أني أخاف أن تكون من الصدقة لأكلتها) متفق عليه.

Thursday, 7 April 2011

Khutbah Jumaat Bahaya Fitnah & Tuduhan Fitnah


الحَمْدُ للهِ حقَّ حَمْدِهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وحده لا شريك له، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عبدُ للهِ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وسَلَّمَ تسليماً كثيراً، أَمَّا بَعْدُ...فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتقوا الله الواحدُ القهار، يا أولى الألباب لعلكم تفلحون...
Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t. Marilah tingkatkan iman dan taqwa padaNya dengan kita mengerjakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Semoga Allah s.w.t melimpahkan kurnia dan kasih sayang dalam usaha membentuk jiwa dan keimanan kita. Amin Ya Rabbal A'lamin. Kebelakangan ini kehidupan kita agak tidak selesa kerana kita di dedahkan dan diperdengarkan perkara-perkara yg  tidak sedap di dengar kerana ia boleh tergolong dalam apa yang di anggap fitnah di dalam ajaran Islam. Islam sebenarnya telah mengajar  kita bagaimana untuk menghadapi keadaan seperti ini berdasarkan firman Allah dalam surat Al hujarat ayat 6:
يَـٰأَيُّها ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ إِن جَاءَكُم فَاسِقُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُواْ أَن تُصِيبُواْ قَومَا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلتُم نَـٰدِمِينَ
Jika datang kepada kamu orang yangg fasik membawa berita, maka selidiklah, agar kamu tidak membuat sesuatu kepada suatu kaum lantaran tidak tahu, lalu kamu akan menyesal atas apa yg kamu kerjakan.

Ayat diatas memperingatkan kepada kita tentang bahayanya kita terus mempercayai sebarang bentuk berita yg kita terima daripada mereka yg fasik samada melalui orang perseorangan, akhbar, televisyen, radio, blog, e-mail, sms dan sebagainya. Apakah patut kita terus mempercayai berita yg disiarkan di media yg di dalamnya juga ada keputusan judi nombor ekor? Patutkah kita terus percaya kepada sumber berita yg di dalamnya sentiasa menyiarkan program-program maksiat yg melalaikan orang dari memperingati Allah? Yang tidak memperdulikan hukum halal dan haram asalkan saja dapat memberi keuntungan di dunia ini? Dimanakah adab atau etika seorang muslim sehingga sanggup mengaibkan saudara muslim yang lain?

Tambahan pula jika berita yg kita dengar melibatkan tuduhan yg amat  beratseperti tuduhan zina yang tergolong dalam dosa-dosa besar.  Menuduh saudara sesama muslim dengan tohmahan-tohmahan yang besar seperti zina merupakan satu perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azab-Nya. Tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menjatuhkan maruah diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Quran mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t  dalam Surah an-Nur: 23-25:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرمُونَ ٱلمُحصَنَـٰتِ ٱلغَـٰفِلَـٰتِ ٱلمُؤمِنَـٰتِ لُعِنُواْ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ وَلَهُم عَذَابٌ عَظِيمٌ (٢٣) يَومَ تَشهَدُ عَلَيهِم أَلسِنَتُهُم وَأَيدِيهِمۡ وَأَرجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ (٢٤) يَومَئِٕذٍ يُوَفِّيهِمُ ٱللَّهُ دِينَهُمُ ٱلحَقَّ وَيَعلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلحَقُّ ٱلمُبِينُ
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (tidak pemah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya dan tahulah mereka bahawa Allah lah yang Benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuaru menurut bakikat yang sebenarnya).

Para ulama telah sepakat (Ijma') mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita mukminah.

Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) karana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aishah As-Siddiqah Binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w. selepas Khadijah, Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan fitnah yang sangat keji. Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan zina dengan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah diragui kebersihan keperibadinya iaitu Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Orang-orang munafik benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan memarakkan api fitnah.

Demikianlah kisah yang telah mempermalukan dan meresahkan rumah tangga nabi s.a.w, rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat al-Quran dari petala langit yang tujuh, bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sedikala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan yang sangat jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tursebut, kaum muslimin merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu. Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur: ayat 11-13
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَاءُو بِٱلإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم لَا تَحسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم‌ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم لِكُلِّ ٱمرِىٍٕ مِّنهُم مَّا ٱكتَسَبَ مِنَ ٱلإِثمِ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبرَهُ ۥ مِنهُم لَهُ ۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ (١١) لَّولَا إِذ سَمِعتُمُوهُ ظَنَّ ٱلمُؤمِنُونَ وَٱلمُؤمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا وَقَالُواْ هَـٰذَا إِفكٌ مُّبِينٌ (١٢) لَّولَا جَاءُو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذ لَم يَأتُواْ بِٱلشُّهَدَاءِ فَأُوْلَئكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلكَـٰذِبُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira babawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang  mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Sepatut mereka (yang menuduh itu) mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

Inilah hukuman Allah yang tegas, sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil tiada cacat keperibadinnya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuaran zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah di terangkan secara kiasan dalam undang-undang shariah: seperti: besi celak dimasukkan ke dalam bekasnya atau seperti pena dimasukkan ke dalam botol dakwat. Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah s.w.t. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera al-Quran al-Karim, iaitu pada firman Allah s.w.t:
وَٱلَّذِينَ يَرمُونَ ٱلمُحصَنَـٰتِ ثُمَّ لَم يَأتُواْ بِأَربَعَةِ شُهَدَاءَ فَٱجلِدُوهُم ثَمَـٰنِينَ جَلدَةً وَلَا تَقبَلُواْ لَهُم شَهَـٰدَةً أَبَدًا‌ وَأُوْلَٰئكَ هُمُ ٱلفَـٰسِقُونَ
Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (Berbuat zina) mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. (Surah an-Nur:4)

Ayat-ayat yang mulia di atas menyebutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu: Pertama: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh beserta kaum keluarganya.

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Perkataan 'kesaksian' dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, ia mencakupi seluruh jenis kesaksian.

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarinya sebagai orang yang fasik. Al-Quran menyebutkan kefasikan sebagai lawan daripada keimanan. Firman Allah s.w.t:
أَفَمَن كَانَ مُؤمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا لَّا يَستَوُ ۥنَ (١٨) أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَلَهُم جَنَّـٰتُ ٱلمَأوَىٰ نُزُلاَ بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ (١٩) وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأوَٰهُمُ ٱلنَّارُ كُلَّمَا أَرَادُواْ أَن يَخرُجُواْ مِنها أُعِيدُواْ فِيهَا وَقِيلَ لَهُم ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ
Maka adakah orang-orang yang beriman serupa dengan orang yang fasik? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Adapun orang-orang yang fasik, maka tempat mereka ialah neraka. (as-Sajdah: 18-20)

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapannya atau di belakangnya.

 Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari syak wasangka, sesungguhnya sebahagian daripada syak wasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat 48: 12)

Dalam satu hadith sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara selurah manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh hak dan kebebasan.

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma'iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam: "Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu". Rasulullah juga bersabda: "Seluruh umatku akan memperolehi pengampunan, kecuali orang-orang yang suka meyebarkan aib orang lain." Dan baginda bersabda: "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang Muslim nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat."

Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran al-Karim:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ وَٱللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لَا تَعلَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) ( an-Nur: 19)

Mimbar hari ini menyeru semua pihak untuk tidak menyebarkan segala fitnah yg akan merugikan umat Islam keseluruhannya samada melalui internet, ucapan, tulisan dan sebagainya. Janganlah kita menjadi penyambung kepada warisan fitnah yang tersebar kerana ia akan menambahkan dosa yg sedia banyak yg kita tanggung sekarang ini.  Perihal fitnah ini bukan sahaja memalukan orang yg tertuduh dan keluarga mereka sahaja, tetapi mencemarkan imej seluruh umat Islam. Agaknya apa pandangan orang-orang bukan Islam terhadap umat Islam dan agama Islam bilamana umat Islam amat berpegang dan percayakan kepada fitnah untuk kepentingan dan tujuan-tujuan tertentu. Bagaimana kita ingin mengambarkan Islam itu sebagai agama yg terbaik dan serba lengkap jika perilaku umatnya sungguh memalu dan menjijikkan. Bagaimana kita ingin meyakinkan bahawa Islam layak memerintah negara dan seluruh pelusuk dunia  dengan adil jika akhlak yg ditunjukkan umatnya sangat jauh dari kehendak agama Islam yg kita junjung tinggi ini. Marilah kita kembali menegakkan segala undang-undang Allah dalam diri kita , dalam keluarga kita, dalam masyarakat kita, dalam negeri kita dan dalam negara kita supaya kita terlepas dari kemelut yg tidak berkesudahan dan supaya kita semua mendapat pengampunan dari Allah s.w.t.
وَقَـٰتِلُوهُم حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتنَةٌ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ ٱنتَهَواْ فَلَا عُدوَانَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ والسنةِ وَنَفَعَنا وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِما مِنَ الآيَاتِ والحكمة وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ الجليل لِيْ وَلَكُمْ وَلكآفةِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ مِنْ جميع الذنوب والخاطئات فَاسْتَغْفِرُوْهُ وتوبُ اليك إنه هو التوّبُ الرحيم.
 
 
Sumber asal & kredit untuk blog: http://khairulaznan.blogspot.com