Saturday, 8 August 2009

KHUTBAH MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU

"Sempena Konvesyen Bahasa Melayu Sedunia 2009 yang akan berlangsung di Negeri Johor Pada Ogos ini, inilah dia khutbah yang telah siap ditulis untuk dibacakan diseluruh Masjid Negeri Johor kalau di persetujui..."


"KHUTBAH MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU"


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini dijamin melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka secara tidak langsung membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi alat perpaduan dan kemajuan. Namun dalam menghadapi cabaran globalisasi bahasa Melayu dilihat antara yang menerima kesan yang sangat mendalam. Era kegemilangan Tamadun Alam Melayu menjadi bukti kehebatan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan ia menjadi kekuatan juga kepada bangsa Melayu itu sendiri. Keperluan untuk menguasai ahasa Inggeris semakin mendesak tetapi dalam masa yang sama bahasa ibunda perlu di pertahan dan dimartabatkan.

Dalam kedudukan inilah kekeliruan dan keraguan wujud. Justeru dalam usaha untuk menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu dirasakan kurang sesuai sebagai bahasa pengantara dan seterusnya sebagai alat perpaduan antara kaum dan medium kemajuan. Namun jika diperhatikan, kejayaan negara maju seperti Jepun dan Korea mampu berjaya menguasai dan menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda. Melihat kepada kedudukan bahasa Melayu yang semakin disisih dan terpinggir oleh masyarakat Malaysia, sewajarnya ada usaha yang serius dan konsisten untuk mengimbas kembali dan memulakan perbincangannya dengan melihat sejarah perkembangan bahasa Melayu, kedudukannya dalam Perlembagaan, institusi-institusi yang terlibat serta isu-isu yang berkaitan pemerkasaan bahasa Melayu ini.


Suatu fakta yang perlu kita ingati dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu adalah bahasa ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan telah terbukti sebagai bahasa yang menjadi tulang belakang pembinaan ketamadunan alam Melayu. Ia juga diangkat menjadi bahasa lingua franca (sebelum abad ke 13 lagi) di seluruh kepulauan Melayu (sebelum kedatangan Barat). Bahasa ini juga menjadi bahasa pengantar kepada perkembangan agama Hindu dan Islam di alam Melayu yang kemudiannya memperlihatkan ia menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan Arab. Oleh kerana bahasa ini ditutur oleh setiap pedagang yang datang ke alam melayu khususnya di Melaka, ia juga menjadi bahasa perdagangan, pendidikan dan sebagainya.

Bagaimanapun keunggulan dan kemegahan bahasa Melayu ini mulai merudum dan jatuh taraf serta statusnya di zaman British. Ia tidak lagi menjadi bahasa pengantaraan tetapi hanya sebagai bahasa pasar. Kesan dari dasar pecah dan perintah oleh British telah membawa perubahan kepada sistem politik, sosial dan budaya. Melalui sistem pendidikan vernakular, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah Inggeris yang mana tahap pendidikannya berakhir hingga ke universiti.


Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Sebelum merdeka, Malaya yang ditadbir oleh British menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi setelah mencapai kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Oleh sebab itu Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman menyatakan (Abdullah Hassan, 1997):


“kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan sebuah bahasa peribumi”.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Bahasa jiwa bangsa dan tiada bangsa tanpa bahasa di mana kekuatan sesuatu bangsa banyak terletak pada perkasa dan meluasnya kegunaan bahasa milik bangsanya. Sebagai contohnya bahasa Arab pada permulaannya hanya berlegar dalam tanah arab sahaja tetapi kedatangan Islam telah merubah segala-galanya apabila ia dijadikan bahasa wahyu al-Quran sehingga memungkinkannya tersebar ke serata dunia. Bahasa arab yang asalnya digunakan dalam kelompok masyarakat arab sahaja seterusnya berkembang sebagai bahasa komunikasi dan bahasa pembina tamadun terutama selepas runtuhnya kuasa besar Rom dan Parsi. Malah bahasa arab telah dijadikan bahasa rasmi oleh khalifah Islam termasuk Khilafah Uthmaniah Turki walau pun Turki tidak termasuk negara arab di mana ia berterusan begitu lama sehinggalah Mustafa Kamal at-Tartuk bertindak menghapuskan penggunaan bahasa arab dalam pemerintahan Turki dengan digantikan bahasa arab kepada bahasa Turki rentetan daripada penghapusan kepada semua perkara yang bersangkutan dengan Islam bersesuaian dengan Turki sekuler.

Bahasa arab menjadi bahasa yang terlalu penting kerana ia dijadikan bahasa rasmi kerajaan-kerajaan Islam yang bukan sahaja dikhususkan penggunaannya dalam kitab agama malah meliputi urusan pentadbiran, ekonomi, teknologi pembinaan tamadun dan sebagainya yang menyebabkan setiap bangsa terpaksa mempelajari bahasa arab dengan begitu bersungguh-sungguh.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Melihat kepada betapa pentingnya bahasa kepada sesuatu bangsa telah menyebabkan para ulama’ Melayu silam menghasilkan tulisan jawi yang ada sedikit penambahan huruf daripada huruf arab bersesuaian dengan sebutan Melayu. Jika bahasa Melayu dianggap tidak penting dalam memperkasakan bangsa Melayu maka sudah tentu para ulama’ Melayu lah yang menjadi golongan pertama yang menghancurkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun. Ulama’ silam yang ramai di kalangan mereka menjadi penasihat kepada Sultan Melayu yang memerintah sudah pasti menggunakan kedudukan mereka dalam mewajibkan rakyat jelata belajar dan menggunakan bahasa arab sebagai bahasa rasmi. Apa yang terjadi adalah sebaliknya di mana ulama’ Melayu lebih bijak dan berpandangan jauh apabila mereka lebih berusaha dalam menghasilkan tulisan jawi bagi mendekatkan masyarakat Melayu dengan tulisan arab serta me’Melayu’kan banyak perkataan arab ditambah lagi dengan penggunaan Nahu atau tatabahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh Nahu atau tatabahasa arab dari dulu sehingga zaman Za’ba yang memudahkan masyarakat Melayu membaca al-Quran dan memamahaminya.

Malah usaha gigih ulama’ Melayu telah menghasilkan banyak kitab karangan mereka terutama berkaitan dengan agama dalam tulisan jawi yang terus digunakan sehingga hari ini di Nusantara terutama di pusat pengajian pondok. Penghasilan tulisan jawi turut berjaya menyatukan umat Melayu Islam Nusantara yang disatukan dengan satu bahasa dan satu tulisan. Oleh itu kita sewajarnya meneruskan usaha yang telah dimainkan oleh ulama’ silam dalam memperkasakan bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa pembina kemajuan.

Kegemilangan bahasa Melayu telah dicemari dengan kemasukan penjajah ke negara ini. Walau pun penjajah tidak mengharamkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu namun tulisan rumi mula diperkenalkan di mana ia digunakan secara meluas sehingga menenggelamkan penggunaan tulisan jawi yang mula terhad. Bahasa Melayu turut menerima pakai perkataan Inggeris yang di melayukan serta penggunaan tatabahasa Inggeris mula mempengaruhi bahasa Melayu sehingga bahasa Inggeris mula mengambil tempat bahasa arab yang menjadi rujukan utama sebelum ini. Akhirnya kebanyakan orang Melayu lebih rapat kepada bahasa Inggeris terutama tawaran pekerjaan lebih tertumpu kepada mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris. Ia turut memberi kesan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa ilmu yang terpenting termasuk dalam memahami agama yang menyebabkan Islam ciptaan barat hasil tulisan orientalis dalam bahasa Inggeris mudah tersebar dalam menjajah pemikiran umat Melayu Islam. Ini menyebabkan lahirnya masyarakat Islam yang kurang meyakini kemampuan sistem Islam malah berani bangun menentang pelaksanaannya dalam negara.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Menyedari betapa pentingnya bahasa maka kita terutama pemimpin wajib memperkasakan semula bahasa Melayu agar ia bukan sahaja berperanan sebagai bahasa perhubungan harian dan agama sebaliknya lebih meluas sebagai bahasa ilmu kepada semua bidang kehidupan termasuk ekonomi, sains dan teknologi. Jika penghapusan tulisan jawi sebelum ini telah menyebabkan ribuan rakyat buta al-Quran dan agama maka penukaran bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik boleh memberi kesan akan terhakisnya kepentingan penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Kita mesti ingat bagaimana tulisan jawi terselamat daripada terkubur dengan adanya pusat pengajian pondok dan sekolah agama malah kedua-dua pusat pengajian ini juga berjaya menyelamatkan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan daripada disisihkan apabila ia dijadikan mata pelajaran pilihan dengan Pendidikan Seni.

Kita terlalu bimbang dengan keadaan dan tindakan yang diambil oleh pemimpin yang sanggup mengkhianati bahasa dan bangsanya sendiri dengan menghapuskan penggunaan bahasa Melayu dalam ilmu moden. Ini boleh membawa kepada hilang minat dan kesungguhan bangsa Melayu sendiri apatah lagi bangsa lain untuk mempelajari bahasa Melayu malah mereka hanya mempelajarinya untuk lulus peperiksaan sahaja bukannya untuk kegunaan dalam mentadbir dan memajukan negara. Akhirnya bahasa Melayu dikubur dan ditalqinkan oleh bangsa dalam negaranya sendiri. Bahasa Melayu selepas ini hanya dipelajari di pusat pengajian pondok sahaja yang semenangnya terus menggunakan kitab jawi karangan ulama’ silam serta penggunaannya hanya terhad untuk komunikasi sesama sendiri sahaja bukan lagi berperanan sebagai bahasa ilmu dan tamadun sebagaimana sebelum ini. Bahasa Melayu bakal menjadi bahasa yang dikenang sebagai bahan sejarah sebagaimana bahasa Sanskrit Tua dan tidak lebih nasibnya seperti bahasa Jawa dan orang Asli yang hanya digunakan untuk berhubung sesama sendiri bukannya dijadikan bahasa ilmu.

Jika kerajaan Thailand berusaha secara halus menghancurkan bahasa Melayu ditambah pula dengan pengkhianatan kerajaan negara ini terhadap bahasa Melayu maka bahasa Melayu bakal diletakkan di muzium sebagai bahan sejarah bukannya sebagai bahasa yang perkasa sebagaimana yang dilakukan oleh ulama’ Melayu silam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu fahami bahawa bahasa Inggeris dipelajari oleh bangsa lain kerana ia digunakan begitu meluas bukan semata-mata sebagai bahasa perhubungan sahaja sebaliknya bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa ilmu dalam menguasai pelbagai bidang ilmu moden. Jika bahasa Inggeris hanya digunakan untuk bahasa komunikasi semata-mata maka bangsa lain tidak akan berminat dan bersungguh-sungguh mempelajarinya. Oleh itu kedudukan orang yang terlalu mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga sanggup menghancurkan bahasa kepada bangsanya sendiri adalah orang yang masih terjajah pemikirannya serta tidak yakin tentang kemenangan Islam. Jika selepas kejatuhan Khilafah Islamiah telah menyaksikan bahasa arab diketepikan maka apabila tibanya zaman kemenangan Islam bakal menyaksikan bahasa Inggeris akan dipandang sepi apabila bahasa arab akan berperanan kembali. Ini menyebabkan pakar bahasa arab begitu diperlukan sedangkan pemimpin yang berpandangan sempit dan kolot telah bertindak kejam menghancurkan sekolah agama rakyat yang sememangnya diperlukan oleh generasi selepas kemenangan Islam. Yakinlah kita bahawa Islam dijulang bangsa Melayu gemilang, Islam Berkuasa bahasa Melayu perkasa.

Firman Allah dalam ayat 177 surah Ali ‘Imran:

إن الذين اشتروا الكفر بالإيمان لن يضروا الله شيئا ولهم عذاب أليم

Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang menukar iman dengan kufur sekali-kali mereka tidak akan dapat memberi mudharat terhadap Allah sedikit pun dan bagi mereka azab yang pedih.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment