Thursday 3 December 2009

...Khutbah Jumaat 4 Dec 2009/ Selepas Eidul Adha...


Selepas Eidul Adha

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ…أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 35-37:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الأَصْنَامَ رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku, dan sesiapa yang menderhaka kepadaku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
Kita masih lagi berada dalam suasana Eidul Adha. Sesungguhnya Aidil Adha ini mengingatkan kita kepada kata-kata Saiyidina Omar bin Al-Khattab:
“Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Aidil Fitri. Manakala hari penurunan terakhir ayat Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Aidil Adha”.
Maka jelaslah Aidil Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya.
Sempena berada pada bulan yang mulia ini marilah kita sama-sama menghayati perjalanan hidup nabi Ibrahim sekeluarga antaranya dengan menghayati kandungan doa nabi Ibrahim dalam ayat 35 hingga 37 surah Ibrahim yang telah dibaca pada awal khutbah tadi iaitu berkaitan dengan system hidup yang digunakan agar tidak bercanggah dengan sistem Islam. Begitu juga kemajuan negeri atau bandar mestilah selari dengan kehendak Islam termasuk memastikan seluruh penduduk sentiasa menjaga solat yang merupakan tiang agama. Bila ahli sesebuah negeri atau bandar menjaga solat yang cukup syarat serta rukun zahir dan batinnya maka ia boleh menjadi benteng dalam mencegah daripada berlakunya jenayah maksiat.

Begitu juga daya penarik sesebuah negeri atau bandar bukan terletak kepada perkara yang meruntuhkan aqidah dan akhlak seperti kelab malam, budaya songsang yang merosakkan sebaliknya keindahan alam semulajadi yang terjaga dan keindahan akhlak penduduknya sehingga Allah menganugerahkan nikmat yang melimpah ruah. Inilah yang sepatutnya menjadi tarikan utama. Jadikanlah pelaksanaan system Islam yang menyeluruh dan amalan soleh sebagai dakwah Islam yang bergerak dalam membuktikan keindahan dan kecantikan Islam. Sesungguhnya Islam yang dilaksanakan lebih mudah difahami dan dilihat oleh orang bukan Islam berbanding Islam yang hanya tertera dalam kitab dan risalah sahaja tanpa dapat dilihat di alam realiti. Firman Allah dalam ayat 51 – 56 surah al-Anbiya’:
وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِه عَالِمِينَ إِذْ قَالَ ِلأ َبِيهِ وَقَوْمِهِ مَا هَذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ قَالُوا وَجَدْنَا آبَاءنَا لَهَا عَابِدِينَ قَالَ لَقَدْ كُنتُمْ أَنتُمْ وَآبَاؤُكُمْ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ  قَالُوا أَجِئْتَنَا بِالْحَقِّ أَمْ أَنتَ مِنَ اللاَّ عِبِينَ  قَالَ بَل رَّبُّكُمْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَ رْضِ الَّذِي فَطَرَهُنَّ وَأَنَا عَلَى ذَلِكُم مِّنَ الشَّاهِدِين

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?” Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya”. Ia berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”. Mereka bertanya: “Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?” Ia menjawab: “(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.

Islam menggalakkan umatnya untuk berhimpun dalam beribadat khusus dan majlis ilmu seperti anjuran solat berjemaah lima kali sehari, solat Jumaat berserta mendengar khutbahnya seminggu sekali, solat Terawih berjemaah sebulan Ramadhan, wukuf di padang Arafah berserta menghayati khutbahnya bagi jemaah haji dan solat 2 hari raya berserta memberi perhatian kepada khutbahnya. Ini antara tanda-tanda bahawa Islam mementingkan kesatuan pemikiran dan gerak kerja dalam mendaulatkan kalimah Allah di muka bumi ini. Sebab itu tidak pelik bila ada sesetengah negara bukan Islam yang melarang rakyatnya yang beragama Islam daripada menunaikan fardhu haji bagi mengelakkan umat Islam daripada tahu tentang kezaliman kerajaan terhadap umat Islam di negaranya seperti yang terbaru di sebuah negeri di China. Begitu juga di sesetengah negara Arab Islam. Bila mimbar Jumaat, kuliah agama, ceramah-ceramah ada yang disekat bagi mengurangkan kefahaman dan kesedaran tentang system Islam yang menyeluruh.

Bila kita menyoroti sikap Raja Namrud bila gagal melawan hujah nabi Ibrahim maka kita dapati adanya sikap takabbur pada dirinya sehingga tidak mahu tunduk kepada kebenaran Islam. Takabbur menjadi punca utama Iblis kufur kepada Allah dan juga betapa ramai umat manusia yang dirosakkan oleh penyakit hati yang paling merbahaya ini. Manusia biasanya menjadi takabbur hasil daripada merasai ia lebih daripada orang lain dalam beberapa perkara antaranya ialah: [1] merasai ilmu lebih tinggi  [2] amalan solehnya  lebih banyak [3] rupa parasnya lebih elok dan cantik [4] tenaganya lebih kuat [5] keturunannya lebih mulia dan baik [6] hartanya bertimbun [7] pangkatnya lebih besar.

Keadaan lebih parah sekiranya penyakit takabbur ini dihidapi oleh golongan yang mempunyai kedudukan sehingga dia sanggup menggunakan kedudukan yang ada dalam menyekat kebenaran. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku maka kita sendiri mestilah menjadi hamba Allah swt yang sentiasa peka terhadap masalah  sama ada dalam bidang akhlak, ekonomi, social mahu pun politik, agar negara maju dan diberkati Allah serta kita menjadi hamba Allah swt yang berbahagia di dunia dan akhirat. Ini kerana menunaikan amanah agama merupakan satu kewajipan yang menyuruh agar menghidupkan budaya amar makruf nahi mungkar. Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud:
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
Hayatilah pengorbanan nabi Ibrahim yang sanggup dibakar demi mempertahankan Islam. Bangkitlah ketika maruah Islam sedang dicabar. Bangunlah ketika kesucian Islam sedang disanggah. Lihatlah darah umat Islam yang semakin tiada harganya, Biar bermandikan darah asalkan Islam terus berdiri gagah. Biar nyawa bercerai dari badan asalkan Islam terus dipertahankan. Lebih baik mati berlapikkan tanah dari hidup penuh kehinaan. Renungilah firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’:
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


No comments:

Post a Comment