Seseorang penuntut ilmu perlu mengutamakan penyucian jiwa daripada akhlak yang buruk dan sifat-sifat tercela kerana ilmu adalah ibadah hati. Dia juga hendaklah memutuskan hubungan dari setiap perkara yang mengganggunya. Apabila pemikiran berbelah bagi, kemampuannya untuk mengenali dan memahami kebenaran akan berkurangan.
Penuntut ilmu hendaklah menyerahkan dirinya kepada guru sebagaimana seorang pesakit menyerah dirinya kepada doktor. Dia juga hendaklah merendah diri kepada gurunya dan bersungguh-sungguh berkhidmat kepadanya. Ibnu Abbas r.a pernah memimpin unta Zaid bin Thabit r.a dan berkata: “Beginilah kami disuruh melakukannya pada ulama”.
Apabila penuntut ilmu sombong dan tidak mahu mengambil faedah dari sesuatu yang dianggap bukan satu kemajuan, dia sebenarnya adalah jahil. Ini kerana hikmah atau kebijaksanaan itu adalah barangan orang mukmin yang hilang. Dimana sahaja dia mendapatinya, dia hendaklah mengambilnya.
Hendaklah dia meninggalkan pendapatnya kerana mendengar pendapat gurunya. Sesungguhnya kesilapan guru lebih bermanfaat daripada sikapnya yang menganggap dirinya betul. Ini bukanlah satu tindakan yang baik kerana dia sewajarnya menjelaskan kesilapan gurunya itu dengan cara penuh hikmah dan baik, Ini adalah kaedah asas dalam agama kita yang suci. Saidina Ali r.a berkata:
“Antara hak orang alim yang mesti kamu tunaikan ialah kamu hendaklah memberi salam kepada semua orang secara umum tetapi memberi salam kepadanya secara khusus. Kamu hendaklah duduk di hadapannya dan jangan menggerak-gerakkan isyarat tangan ketika berada di sisinya. Jangan sesekali kamu mengenyitkan mata di hadapannya, jangan terlalu banyak bertanya kepadanya, jangan cuba membantunya dalam memberikan sesuatu jawapan, jangan kamu mendesaknya ketika dia merasa malas dan jangan berulang-ulang kali mengajaknya jika dia enggan.
Kamu jangan memegang bajunya ketika dia bangkit berdiri. Jangan mendedahkan sesuatu rahsia kepadanya, jangan mengumpat seseorang di hadapannya dan jangan sengaja mencari kesilapan dirinya. Sekiranya dia tersalah, hendaklah kamu menerima alasannya. Jangan kamu berkata kepadanya: “Aku telah mendengar si fulan kata begini atau pendapat sifulan itu berbeza dengan kamu”. Jangan kamu bercerita tentang seorang ulama yang lain ketika bersamanya, jangan berpaling meninggalkannya kerana terlalu lama bersamanya dan janganlah kamu menolak untuk berkhidmat kepadanya. Apabila dia berhajat kepada sesuatu, sepatutnya kamu hendaklah mendahului orang lain untuk menunaikannya. Kedudukannya adalah sama seperti pohon kurma. Kamu menunggu –nunggu bilakah sesuatu darinya akan gugur kepadamu.
Orang yang baru mempelajari ilmu perlu berwaspada daripada mendengar perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulama kerana ia boleh mengelirukan akalnya dan melemahkan pemikirannya. Dia hendaklah mengambil perkara yang terbaik daripada setiap perkara. Ini kerana umurnya tidak mencukupi bagi mempelajari kesemua ilmu. Kemudian dia hendaklah menumpukan sebahagian besar tenaganya untuk mempelajari semulia-mulia ilmu iaitu ilmu berkaitan dengan akhirat. Dengannya ia akan beroleh keyakinan sepertimana yang dimiliki oleh Abu Bakar al-Sideq r.a sehingga rasulullah s.a.w mengiktiraf beliau dengan sabda baginda yang bermaksud:
“Abu Bakar mendahului kamu bukan kerana banyak berpuasa atau solat tetapi kerana sesuatu yang tertanam teguh du dalam dadanya (keyakinan)”.
No comments:
Post a Comment