Bencana Alam
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 16 surah al-Israk:
وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نٌّهْلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُترَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيهَا ٱلقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَـٰهَا تَدۡمِيرً۬ا
"Apabila sampai saat Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampaui batas dengan kemewahan antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sejak kebelakangan ini kita dapati pelbagai bencana alam yang merunsingkan telah berlaku seperti ancaman tsunami, gempa bumi, ribut kencang, letusan gunun berapi dan lain-lain lagi. Ada kalanya hujan turun dengan kadar yang banyak bukan pada kebiasaan musimnya. Ada kalanya pula cuaca menjadi terlalu panas sehingga ke tahap membahayakan kesihatan manusia. Para saintis mengkaji dan mengemukakan pelbagai teori yang antaranya mengklasifikasikan senario ini sebagai pemanasan global.
Dari satu sudut yang lain, kita tidak boleh menafikan bahawa situasi begini adalah permulaan amaran Allah s.w.t kesan dari kerosakan yang dilakukan manusia kepada alam ini. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
ظَهَرَ ٱلفَسَادُ فِى ٱلبَرِّ وَٱلبَحرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
"Telah nyata pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oIeh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Namun terlalu sedikit di kalangan kita yang ingin mengambil iktibar di sebalik sesuatu yang ditimpakan Allah s.w.t. Mereka lebih meyakini teori dan pandangan manusia yang hanya bersandarkan pengalaman berbanding ayat-ayat Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t. menurunkan sesuatu bala bencana, sudah pasti ada sebab dan musababnya. Sama ada disebabkan oIeh kezaliman, kemaksiatan, kelalaian terhadap peringatan-peringatan Allah atau mungkin juga sebagai suatu dugaan untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya. Apa yang jelas, apabila bala bencana itu turun, ia tidak memilih sesiapa walaupun ianya berpunca daripada sebahagian pihak sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 25:
وَٱتَّقُواْ فِتنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬ۖ وَٱعلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلعِقَابِ
"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya".
Pada 26.12.2004 Peristiwa Tsunami telah berlaku dan mengorbankan ribuan nyawa. Masihkah kita ingat lagi, di saat umat Islam bersedia meraikan ‘Iduladha, negara kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 4 nyawa dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal mereka. Kini, setelah lama berlalu, kita mula dirisaukan lagi dengan gegaran-gegaran bumi yang berlaku di negara-negara jiran? Apakah kita masih merasa selesa lantaran bencana tersebut tidak berlaku di tempat kita? Kita juga merasa amat bersedih dengan siri-siri kemalangan yang tragis dan menyanyat hati yang berlaku satu demi satu. Kesedihan masih lagi belum reda, kita dilihatkan dengan banjir besar yang berlaku di beberapa kawasan utara negara. Begitulah antara siri-siri ujian atau mungkin juga bala bencana yang berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling daripada peringatan-peringatan Allah s.w.t. Ujian atau bala bencana itu tidak terhenti sekadar itu sahaja. Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.
Dengan peristiwa seperti ini, sepatutnya membuka mata hati kita semua supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah s.w.t. Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah s.w.t semata-mata, sedangkan peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan dan kesombongan mereka sendiri. Malang sekali kerana peristiwa sebegini jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.
Bala bencana boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada siang atau malam tanpa sebarang amaran. Allah juga mengingatkan manusia di muka bumi ini supaya jangan terlalu yakin bahawa mereka terkecuali daripada ditimpa bencana. Ingatlah apabila manusia leka dan membiarkan kemaksiatan bermaharajalela, maka itu merupakan isyarat bahawa mereka bakal diruntuh dan dihancurkan oIeh Allah s.w.t. Perkara ini telah pun dibuktikan oIeh Allah s.w.t. kepada kaum-kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita contohnya seperti kaum Nabi Lut ‘Alaihis-Salam yang mengamalkan hubungan sesama jenis, akhirnya dihancurkan dan dilenyapkan dari muka bumi Allah ini. Begitu juga dengan kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain lagi yang ditimpakan bencana oIeh Allah disebabkan keingkaran mereka.
Kita tidak nafikan bahawa segala punca kemurkaan yang mendekatkan kita dengan bala bencana Allah s.w.t telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Antaranya adalah kerana:
Pertama : Terlalu banyak kemungkaran dan maksiat yang dilakukan seperti kejadian bunuh, rogol, rompak dan lain-lain lagi.
Kedua : Berleluasanya pergaulan bebas di kalangan remaja seperti di tempat-tempat hiburan atau di mana jua sehingga berlakunya perzinaan yang mengakibatkan kes pembuangan bayi.
Ketiga : Anak-anak menderhaka kepada kedua ibu bapanya sehingga menganggap ibu bapa sebagai satu bebanan dan bukannya sebagai suatu tanggung jawab bahkan lebih teruk lagi ada yang menyakiti dan mencederakan mereka.
Keempat : Amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi dan dianggap amalan biasa sama ada di peringkat bawahan mahu pun di peringkat atasan.
Kelima : Semakin ramai yang mendedahkan aurat di kalangan umat Islam. Pakaian Islam dianggap sebagai fesyen dan bukannya lagi sebagai tuntutan agama.
Apa yang menyedihkan, pusat-pusat hiburan tumbuh bagaikan cendawan malahan ada pula cadangan untuk memperbanyakkan penubuhan pusat-pusat hiburan ini dengan alasan untuk kemajuan ekonomi dan pelancongan. Golongan artis pula menjadi pujaan, teguran dan nasihat ulama tidak dihiraukan, sebaliknya mereka ini pula menjadi bahan hinaan dan cacian. Semuanya ini hanya akan mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.
Dalam suasana kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, alangkah baiknya jika para ilmuan, para pemimpin, organisasi dan politik, usahawan, remaja, belia dan para pencinta agama dapat disatukan fikrah dan pendirian mereka seterusnya bersama-sama berdakwah bagi membanteras segala kemungkaran dan anasir-anasir yang membawa kerosakan.
Bagi mengelakkan bala bencana Allah ini, marilah kita kembali kepada ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah s.w.t. Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat memohon kerahmatan-Nya dan berdoa supaya terhindar daripada mala petaka yang tidak diingini. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar.
فَقُلتُ ٱستَغفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥكَانَ غَفَّارً۬ا
"Sehingga aku berkata (kepada mereka), mohonlah ampun kepada TuhanMu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun".(Noh : 10)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment