Khutbah Peringatan Kepada Kematian
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Satu demi satu tanda kiamat samada kecil atau besar berlaku silih berganti di depan mata kita yang memberi peringatan jelas tentang betapa hampirnya dunia ini pada saat kehancuran. Dunia semakin celaru dengan pelbagai fitnah dan keadaan yang kacau bilau seolah-olah tiada penghujungnya. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari kiamat wajib mengambil semua ini sebagai peringatan penting bagi bersiap diri sebelum melalui dua alam pembalasan iaitu alam kubur atau barzakh dan alam akhirat yang tiada padanya peluang lagi untuk beramal soleh sebaliknya ia merupakan tempat pembalasan berdasarkan keimanan dan amal ibadat kita.
Ingatlah kita kepada jawapan Sayyidina Uthman bin ‘Affan bila ditanya tentang sebab beliau menangis hingga basah janggutnya ketika berdiri di suatu tanah perkuburan lalu katanya:
Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: “Kuburan adalah awal kehidupan akhirat. Jika seseorang selamat daripadanya, maka kehidupan akhirat setelahnya menjadi lebih mudah. Dan jika dia tidak selamat daripada seksa kubur, maka akhirat setelahnya lebih mengerikan lagi penderitaan api neraka yang akan dirasainya.” -Ahmad dan Tirmidzi-
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ - surah as-Sajadah 12-
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu) “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu) maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Ketika berseronok mengumpul harta kemewahan dunia maka jangan lupa pada saat kematian yang bakal menjelma bila-bila masa sahaja. Oleh itu disunatkan untuk menziarahi kubur bagi memastikan hati tidak lalai daripada menambah bekalan akhirat dengan amal ibadat disamping menjauhi maksiat dalam kehidupan seharian. Ingatlah kepada suatu pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada para sahabatnya, diantaranya beliau berkata:
Jika kalian melalui tanah perkuburan, panggillah ahli kubur jika engkau boleh memanggil. Lihatlah, betapa sempit rumah-rumah mereka. Tanyakanlah kepada orang-orang yang kaya, adakah masih berbaki kekayaan mereka? Tanyakan pula kepada orang-orang miskin, adakah masih berbaki kemiskinan mereka? Tanyakanlah tentang lidah-lidah yang petah berbicara, sepasang mata yang pernah melihat indahnya pemandangan dunia? Tanyakan pula tentang kulit-kulit lembut dan wajah-wajah yang cantik jelita, juga tubuh-tubuh yang halus dan gebu, apa yang diperbuat oleh ulat-ulat di sebalik kain kafan mereka? Lidah itu telah hancur, wajah yang cantik jelita itu telah dirobek-robek ulat, anggota badan mereka telah terpisah berselerakkan. Lalu di mana pelayan-pelayan mereka yang setia? Di mana timbunan harta dan deretan pangkat mereka? Di mana rumah-rumah gedong mereka yang banyak dan menjulang tinggi? Di mana kebun-kebun mereka yang rendang dan subur? Di mana pakaian-pakaian mereka yang indah-indah dan sangat mahal? Di mana kenderaan-kenderaan mewah kesukaan dan kebanggaan mereka? Di mana kolam renang dan telaga peribadi mereka? Bukankah mereka kini berada di tempat yang sangat sunyi? Bukankah siang dan malam bagi mereka sama sahaja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan? Mereka telah terputus dengan amal mereka. Mereka telah berpisah dengan orang-orang yang mereka cintai, harta dan segenap keluarganya. Kerana itu, wahai orang yang tidak lama lagi akan menghuni di kuburan! Kenapa engkau masih terpedaya dengan dunia? Renungkanlah orang-orang yang telah pergi meninggalkan kamu. Mereka amat berharap untuk dapat kembali ke dunia. Agar dapat menghimpun amal sebanyak-banyaknya. Tetapi, itu semua tidak mungkin terjadi kerana mereka telah dikuburkan. Oleh itu, sebelum datangnya saat kematian, maka perbanyakkanlah bertaubat dan memohon kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
قَالَ الرَّسُوْلُ: لَوْ كَانَ لابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَ بْتَغَى ثَاِلثًا وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا التُّرَابُ وَ يَتُوْبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Seandainya anak Adam mempunyai 2 lembah harta tentu dia masih menginginkan lembah harta yang ketiga. Sedangkan benda yang sebenar memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah kuburnya dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat
- Bukhari dan Muslim-
Menyedari bahawa kehidupan dunia ini berkait dengan kehidupan akhirat maka marilah kita bersama-sama memastikan setiap sistem kehidupan kita samada ibadat khusus, ekonomi, sosial, politik mestilah bertepatan dengan Islam agar kita dimuliakan oleh Allah dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa setiap nikmat samada harta, pangkat, anak, rumah, makan minum, kesihatan dan selainnya akan ditanya oleh Allah. Hanya golongan yang bertaqwa dalam setiap tindakan mereka sahaja yang bakal menikmati nikmat syurga di akhirat kelak. Oleh itu ketika melihat kepada pelbagai bala Allah yang berlaku samada kerosakan akhlak mahu pun jenayah yang terus meningkat maka punca yang paling besar ialah akibat kepada kefahaman dan penghayatan terhadap agama semakin terhakis sehingga dosa pahala dijadikan mainan, hidup mati dianggap sebagai kebiasaan, syurga neraka hanya benda khayalan. Sebab itulah pengajian agama hanya dipandang remeh-temeh dan sebagai perkara sampingan sahaja tidak sebagaimana ilmu dunia yang lain. Renungilah firman Allah ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ
Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati."Moga kita sentiasa bersedia.
ReplyDelete