Pagi Jumaat baru ni tazkirah di FB UPSI. Tajuk yang dikongsi dengan rakan-rakan staf adalah hadith berkaitan dengan 7 golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah s.w.t di hari akhirat kelak. Bila tazkirah depan golongan yang hebat-hebat ni rasa seram sejuk jugak sebab mereka ni ada yang ada title prof, prof madya, dr, dato dan sebagainya. Tapi tak pe ilmu Allah s.w.t ni perlu dikongsi bersama. Hadith yang dikupaskan adalah riwayat dari Abu Hurairah r.a :
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله، ورجل قلبه معلق بالمساجد، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله. ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه" متفق عليه
Maksudnya: “Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid (selalu melakukan solat berjamaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seseorang yang digoda perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya.” (HR Bukhari)
1. Pemimpin yang adil. Amat susah nak cari seorang pemimpin yang adil pada akhir zaman sekarang ni. Sekarang ni dunia dah terbalik…mereka yang zalim diangkat dan dipuja menjadi pemimpin, sebaliknya mereka yang menyeru kepada kebaikan di pandang sepi. Lebih malang lagi yang zalim bertahta mewah bagaikan akan terus menongkat langit. Manakala mereka yang benar-benar ikhlas berjuang tempatnya adalah penjara. Kat penjara sekarang ni ramai orang-orang baik…sepatutnya penjara untuk orang-orang jahat. Tapi nak hairan apa sebab zaman dulu pun ramai ulama yang dipenjarakan seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Hassan al-Banna dan ramai lagi. Jadi sekiranya Allah uji kita dengan nikmat menjadi pemimpin ingatlah ia merupakan sebagai satu ujian dari Allah dan bukannya lubuk untuk mencari kekayaan dunia yang hanya bersifat sementara.
2. Pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah. Walaupun ditulis pemuda sahaja…tetapi ia merangkumi juga pemudi…itulah indahnya bahasa Arab yang perlu dipelajari oleh setiap orang Islam. Kalau kita lihat sekarang susah nak cari golongan yang dibesarkan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Hari ini ibu bapa tidak menitiskan air mata apabila anak-anak mereka tidak tahu membaca al-Qur’an, tidak tahu mendirikan solat dan tidak menutup aurat, sebaliknya ada ibu bapa yang menitiskan air mata apabila anak mereka terkeluar dari senarai pertandingan realiti. Maka lahirlah anak-anak apabila ibu bapa mereka meninggal dunia semua urusan jenazah di pakej kan sehingga membaca surah yassin untuk jenazah pun mengharapkan orang lain. Hari ini ibu bapa sanggup membelanjakan beratus-ratus ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen walau pun baru berusia 7 tahun, tetapi mereka terlepas pandang untuk mengajar anak-anak perkara asas berkaitan dengan Islam. Apabila seseorang anak itu mencapai umur akhil balighnya maka ajarkanlah kepada mereka tentang syahadah, maknanya walaupun tanpa dalil kerana itu yang dilakukan oleh rasulullah s.a.w ketika mengajar orang Arab Badawi tentang Islam. Kemudia apabila masuknya waktu solat maka ajarkan kepada mereka semua perkara berkaitan dengan solatnya, dari jenis air, cara berwuduk dan cara-cara solat. Apabila tibanya bulan Ramadhan maka ajarkan mereka cara berpuasa, Apabila cukup setahun dan mereka mempunyai harta, maka ajarkan mereka dan keluarkan zakat ke atas mereka. Apabila tibanya musim haji, maka ajarkanlah mereka tentang haji. Inilah asas-asas yang sepatutnya di ajar kepada anak-anak agar mereka ini membesar dalam suasana Islam.
3. Seseorang pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid. Sekarang ini kita lihat muda mudi hati mereka lebih asyik dan terpaut di tempat-tempat lain. Mereka lebih selesa berada di komplkes membeli belah, pusat-pusat hiburan, warung-warung dan sebagainya daripada hadir ke masjid. Hadith ini ditujukan kepada pemuda kerana sifat orang muda sukakan kepada hiburan. Jadi mana-mana orang muda yang dapat mengawal kehendak nafsu dan sentiasa rindukan kepada masjid mereka ini akan mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. Istilah yang digunakan tidak untuk orang tua, sebab menjadi sifat orang-orang veteran dan orang-orang pencen mereka akan memenuhi masjid. Inilah jemaah yang tegar. Tapi lebih malang ada orang tua yang tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur kata mari tapi masih lagi asyik dengan kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya.
4. Dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah. Ini yang payah nak dapat. Bertemu, bersahabat dan berpisah kerana Allah s.w.t semata-mata. Seringkali kita bertemu dan bersahabat demi kepentingan-kepentingan lain. Sebab orang itu berjawatan tinggi maka kita bersahabat dengan dia, sebab orang itu kaya raya maka kita bersahabat dengan dia, sebab orang itu dari golongan yang elit maka kita bersahabat dengan dia. Apabila semua itu telah lesap maka tali persahabatan dan keakraban yang terjalin pun lesap begitu sahaja. Mereka ini bertemu, bersahabat dan berpisah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. Sahabat yang ikhlas kerana Allah s.w.t adalah sahabat ketika mana kita suka dan duka, sahabat yang menegur kita bila kita melakukan kesalahan, sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah s.w.t inilah sahabat dunia dan akhirat. Inilah golongan yang amat sukar untuk dicari dan beruntunglah mereka yang memperolehinya.
5. Seseorang yang digoda perempuan berkedudukan dan cantik (untuk bezina), tapi ia mengatakan: “Aku takut kepada Allah”. Wah! Ini lagi susah nak cari. Ramainya orang buang bayi sekarang ni. Lepas tu plak ada sekolah khas untuk golongan ini seolah-olah menggalakkan lagi perbuatan mereka ni. Kenapa nak tiru orang kafir sedangkan kita ada modul tersendiri dan sangat sempurna, itulah agama Islam. Kenapa takut untuk berpegang kepada Islam secara mutlak, kenapa tak nak ambil Islam sebagai alat untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan yang pasti semuanya ada dalam agama yang sangat suci ini. Zaman sekarang ni macam kembali ke zaman silam. Sekarang bukan sahaja perempuan menggoda lelaki sebaliknya sesama sendiri. Wabak ini semakin parah, lelaki minat kepada lelaki dan perempuan minat kepada perempuan. Lebih parah lagi golongan ini semakin berani mengemukakan pendirian mereka secara terang-terang atas title demokrasi dan hak-hak kemanusiaan. Inilah propaganda musuh Islam yang berjaya menular masuk di kalangan umat Islam. Lebih-lebih parah lagi pendirian mereka ini disokong oleh golongan orang Islam yang berkedudukan. Sah kita kini berada di akhir zaman!
6. Seseorang yang diberikan sedekah kemudian merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kanannya. Menjadi trend terutama dalam bulan Ramadhan dan nak pilihanraya. Maka ramailah hamba Allah s.w.t yang menaburkan sedekah, kemudian dicatatlah amalan kebaikkan mereka ini dalam akhbar-akhbar yang banyak berita tipu dari yang betul. Seterusnya mereka ini dipuji dan disebut-sebut sebab betapa murninya dan tulusnya perbuatan mereka. Mereka ini diangkat dan dipuja seterusnya dijadikan pemimpin untuk memimpin rakyat. Alih-alih baru sepenggal pegang jawatan dan jadi jutawan. Menarik juga tu. Cuma rasa kompius…adakah semua perbuatan mereka ini dipandang oleh Allah s.w.t? Lebih parah lagi derma RM1 aje, tapi berita dekat muka depan akhbar. Biarlah kita member tetapi orang tak tahu, apalah yang dicari mulianya dari kaca mata manusia tetapi tetap hina di sisi Allah s.w.t.
7. Seseorang yang berzikir (mengingat) Allah dalam kesendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya. Boleh ke sampai tahap yang macam ini. Duduk bersendirian berzikir dan menitiskan air mata. Sekarang ni terutama anak muda ramai juga yang bersendirian tapi lain plak kerjanya. Boleh FB berjam-jam lamanya sampai semua tanggung jawab di abaikan. Boleh duduk bersendirian berzikir tapi bukan menitiskan air mata sebaliknya mengantuk rasa mata. Selalu juga yang menangis tapi bukan disebabkan mengenangkan dosa yang banyak, tapi menangis sebab lain yang entah apa-apa. Susahnya nak cari golongan yang macam ini, selayaknya mereka ini mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. Ustaz ada juga menitiskan air mata, sebab rindukan isteri yang jauh, tetapi selalu pujuk hati dengan berbisik mengatakan adat orang berjuang mesti sabar dan tabah, kalau ikutkan geloran nafsu mahu meroyan jadinya. Semoga kita salah seorang dari 7 golongan di atas. Tapi kalau dapat kita termasuk dalam ketujuh-tujuh golongan itu elhamdulilah. Siap juga akhirnya.
No comments:
Post a Comment