Thursday, 19 August 2010

Khutbah Jumaat Ramadhan...



KHUTBAH RAMADHAN & TAQWA

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ… أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah:
يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
 Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Setelah 1/3 kita menjalani ibadat puasa, marilah kita menghidupkan bulan Ramadhan dengan melipat gandakan amal ibadat disamping berusaha bersungguh-sungguh dalam menjauhi maksiat. Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa merindui tarbiah Ramadhan sebagai suatu proses mendidik diri ke arah memiliki peribadi mulia bukannya sebagai seorang penderhaka yang menganggap bahawa ketibaan Ramadhan adalah suatu bebanan dan penyeksaan yang diharapkan cepat berlalu.

Ibadat puasa dapat melahirkan umat bertaqwa dengan cara melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat serta menjauhi maksiat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan ini, namun sahabat karib kepada syaitan terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita mesti ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.
عن صفية: قال النبي: إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ- رواه البخاري ومسلم
Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.
عن أبي هريرة: قال النبي: الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ- رواه  ابن ماجهPuasa itu sebahagian daripada sabar     -   
Sabar pula sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis
عن ابن مسعود: قال النبي: الصَّبْرُ  نِصْفُ  الإْيمَانِ-  رواه  أبو نعيم Sabar itu sebahagian daripada iman

Semoga kita dapat gunakan peluang keemasan ini dengan kedatangan Ramadhan untuk melatih diri ke arah menjadi umat yang lebih baik daripada tahun sebelum ini bukan sebaliknya. Kita merasa begitu gembira dan bersemangat melihat bagaimana suasana umat Islam dalam menghidupkan Ramadhan terutama pada waktu malam apabila begitu ramai yang memenuhi masjid dan surau. Kita mengharapkan suasana ini terus berlangsung bukan sahaja sehingga ke penghujung bulan Ramadhan ini malah ia dapat diteruskan pada bulan yang lain bagi menunjukkan perubahan bahawa kita umat Islam sudah benar-benar kembali kepada kehidupan Islam yang sebenar-benarnya.

Jangan hanya bersemangat pada awal Ramadhan sedangkan apabila Ramadhan sudah hampir berlalu terutama pada malam-malam terakhir yang dijanjikan antara malamnya lailatul Qadar maka masjid dan surau kembali sunyi apatah lagi apabila berlalunya Ramadhan. Jika suasana hanya bersemangat dan rajin pada awal bulan sahaja terus berlangsung maka lambat lagilah janji kemenangan oleh Allah yang hanya diturunkan kepada umat yang bertaqwa dan sentiasa istiqamah dalam beribadat dan berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.  Ingatlah bahawa janji kemenangan dan kemuliaan hakiki hanya dianugerahkan kepada umat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah setelah segala usaha yang lain telah dilaksanakan dengan baik.

Kita mengharapkan agar tarbiah Ramadhan dapat menambahkan lagi keyakinan kita terhadap segala kandungan al-Quran yang sentiasa dibaca pada bulan ini yang merupakan bulan turunnya al-Quran kepada nabi Muhammad s.a.w. Janganlah kita hanya tahu membaca al-Quran sedangkan segala sistem yang terkandung di dalamnya tidak dilaksanakan dengan pelbagai alasan. Kita begitu kecewa kerana adanya umat Islam pada bulan Ramadhan yang mulia ini tanpa segan silu melakukan dosa dan mencabar hukum Allah s.w.t. Sepatutnya semakin banyak berpuasa dan berterawih serta membaca al-Quran maka semakin banyak sistem Islam termasuk perundangan dapat dilaksanakan bukan semakin kuat menentangnya. Sempena bulan Ramadhan yang terus berjalan ini maka kita seluruh umat Islam yang benar-benar tunduk dan patuh kepada perintah Allah Janganlah ketika Allah menutup pintu neraka dengan membuka seluas pintu syurga sempena ketibaan Ramadhan maka kita jangan sekali-kali cuba mengetuk pintu neraka dengan melawan sistem dan perundangan Allah s.w.t.

Kita amat sedih apabila saban hari termasuklah dalam Ramadhan yang mulia ini kes jenayah membuang bayi terus berleluasa, janin yang sudah cukup sifatnya ditanam tanpa ada rasa belas sebagai seorang manusia. Mereka ini bukan sahaja melakukan dosa besar kerana berzina, lebih teruk dari itu membunuh bayi yang tidak berdosa. Dalam bulan yang Allah s.w.t melimpahi keberkataan dan keampunan kepada hambanya, rebutlah peluang untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. Ibu bapa bimbinglah anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Jangan terlalu sibuk dengan urusan dunia maka amanah dan tanggung jawab ini diabaikan. Para pemimpin hendaklah memandang serius terhadap permasalahan ini. Jadikan Ramadhan sebagai satu wadah untuk bermuhasabah dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini. Tiada satu pun jalan penyelesaian yang terbaik melainkan kembalilah kepada kitab Allah dan sunnah nabi s.a.w sepenuhnya. Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

Kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir. Kita yang hidup dalam keadaan aman sepatutnya bersyukur kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat bukannya bertambah liat apatah lagi terus bergelumang dengan maksiat. Renungilah nasib yang sedang dihadapi oleh kebanyakan saudara kita yang lain terutama di Palestin, Iraq dan sebagainya di mana mereka bukan setakat melawan nafsu tetapi turut berhadapan dengan musuh kuffar. Bilakah penderitaan saudara seagama itu akan berakhir dan adakah kuffar yang diketuai oleh Amerika dan didalangi oleh tangan jahat yahudi akan terus menjadi raja untuk melakukan kezaliman di atas muka bumi ini. Jawapannya terletak di atas bahu setiap diri umat Islam di mana adakah kita sudah mahu kembali kepada Islam yang menyeluruh atau terus mahu berpecah mengikut ideologi ciptaan kuffar.

Matlamat utama kepada setiap ibadat dalam Islam termasuklah ibadat puasa ialah untuk melahirkan umat yang bertaqwa yang sentiasa takut kepada Allah setiap masa dan ketika. Bila lahirnya pemimpin yang taqwa maka tiada lagi berlakunya kezaliman terhadap rakyat dan penyalahgunaan kuasa dalam mengaut keuntungan peribadi. Bila lahirnya pegawai kerajaan dan kakitangan syarikat bertaqwa maka tidak berlakunya pecah amanah dan rasuah. Bila lahirnya peniaga yang bertaqwa maka tiada lagi amalan tipu dan monopoli harga barangan demi mencari keuntungan melampau. Bila lahirnya anggota masyarakat yang bertaqwa maka tiada lagi kes kecurian, ketagihan dadah, rogol, zina, pembuangan bayi dan sebagainya. Bila lahirnya suami yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderaan dan pengabaian rumahtangga. Bila lahir isteri yang bertaqwa maka tiada lagi kes penderhakaan. Bila lahir anak yang bertaqwa maka tiada lagi kes melawan ibubapa. Bila lahir pelajar yang bertaqwa maka tiada lagi kes buli dan jenayah di sekolah.

Alangkah indahnya bila setiap anggota masyarakat bermula daripada pemimpin sehinggalah ke anak kecil semuanya bertaqwa kepada Allah sehingga keberkatan dan nikmat hidup melimpah ruah datangnya daripada Allah. Inilah kelebihan dan kepentingan taqwa yang mudah dikata tetapi payah untuk dikota. Taqwa menjadikan kita bahagia di dunia manakala di akhirat pula taqwalah yang menjadi bekalan yang paling berharga kepada setiap diri kita. Jadikanlah Ramadhan medan tarbiah yang melahirkan diri sebagai umat bertaqwa. Taqwa dimiliki negara harmoni,dunia sentosa akhirat bahagia. Firman Allah dalam ayat 96  surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


No comments:

Post a Comment