Allah s.w.t telah menfardhukan puasa sebulan Ramadhan ke atas kita umat Muhammad s.a.w dan menjadi sunnah baginda s.a.w untuk melakukan solat terawih di dalam bulan ini. Adalah menjadi amalan baginda s.a.w melakukan qiamulail khususnya dalam bulan Ramadhan. Hadith baginda s.a.w: (من قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدَّم من ذنبه) Iman bermaksud membenarkan janji-janji Allah s.w.t dan (احتسابًا) bermaksud tidak mengharapkan apa-apa selain ganjaran dari Allah s.w.t. Maka mereka yang berpuasa semata-mata kerana itu akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.
Terawih pula solat sunat mathur dari nabi s.a.w yang dilakukan orang-orang Islam secara berjemaah di masjid selepas solat Isya’ dalam bulan Ramadhan. Nabi s.a.w pernah solat terawih secara berjemaah bersama para sahabat untuk malam yang pertama sehingga malam yang ketiga sahaja. Selebihnya baginda s.a.w melakukan sendirian di rumah kerana bimbang ia akan menjadi kefardhuan kepada umat baginda s.a.w. Selepas itu para sahabat menunaikan solat terawih secara bersendirian sehinggalah zaman Saidina Umar al-Khatab yang menghimpun sahabat dan melakukan secara berjemaah dengan di imamkan oleh sahabat yang bernama Ubai bin Ka’ab r.a. Saidina Umar al-Khatab melakukan sedemikian kerana situasi yang berbeza dengan zaman nabi s.a.w. Pada zaman nabi s.a.w wahyu masih lagi diturunkan, syariat masih lagi belum lengkap, agama masih lagi belum sempurna sehinggalah wahyu yang terakhir diturunkan. Ini yang membimbangkan nabi s.a.w. Berbeza dengan zaman Saidina Umar al-Khatab, adalah mustahil solat terawih secara berjemaah ini akan difardhukan kerana setelah wafatnya baginda s.a.w wahyu tidak diturunkan lagi oleh Allah s.w.t.
Berikutan dari peristiwa inilah kebanyakkan ulama mengatakan bahawa solat terawih ini sunat dilakukan secara berjemaah dan ada segelintir ulama yang mewajibkannya sebagai fardhu antaranya Imam al-Tohawi dari mazhab Abu Hanifah. Perbincangan dalam bab ini adalah luas. Sama ada ianya sunat dilakukan secara bersendirian di rumah atau berjemaah di masjid. Terdapat pendapat sesetengah ulama yang mengatakan lebih afdal dilakukan di rumah. Sebahagian yang lain pula mengatakan di masjid lebih baik dengan hujah serta dalil masing-masing. Antaranya sebahagian Syafieyyah mengatakan sekiranya terdapat jemaah yang ingin melaksanakan secara berjamaah di masjid maka ia lebih afdal. Sesiapa yang menghafaz al-Qur’an dan tidak khuatir akan kemalasan pada dirinya maka ia boleh memilih untuk solat berjemaah di masjid atau bersendirian di rumah. Tetapi sesiapa yang tidak memiliki kedua-dua sifat di atas maka solat secara berjemaah di masjid adalah lebih afdal. Begitu juga dengan situasi wanita muslimah. Sekiranya mereka menghafaz al-Qur’an dan tidak bimbang dengan kemalasan diri maka solat bersendirian di rumah adalah lebih afdal dan sebaliknya. Ini kerana di masjid mereka akan dapat mendengar bacaan al-Qur’an, mendengar nasihat-nasihat dan bertemu sesama muslimat dan dapat saling tolong menolong dan bantu membantu ke arah kebaikan.
Bilangan Rakaat
Tidak dinyatakan jumlah rakaat yang dilakukan oleh Ubai bin Ka’ab ketika menjadi imam solat terawih di zaman Saidina Umar al-Khatab. Terdapat perbezaan pendapat dalam masalah jumlah bilangan rakaat dalam sunat terawih ini. Ada yang berpegang pada jumlah 11 rakaat, 13 rakaat dan 21 rakaat sekali dengan witir. Al-Hafiz berpendapat dalam masalah ini dengan menyatakan bahawa sesungguhnya perselisihan pendapat jumlah bilangan rakaat ini adalah disebabkan oleh panjang ayat yang dibaca di dalamnya. Sekira membaca ayat yang panjang maka jumlah rakaatnya sedikit, tetapi sekiranya bacaannya pendek maka bilangan rakaatnya banyak.
Pada masa pemerintahan Saidina Umar Abd Aziz di Madinah, mereka melakukan solat terawih dengan jumlah rakaatnya 34 rakaat dan melakukan witir 3 rakaat. Imam Malik mengatakan sesungguhnya itulah amalan lama kami. Imam As-Syafie pula berkata: “Aku melihat penduduk Madinah melakukan solat dengan jumlah rakaatnya sebanyak 39 rakaat, manakala penduduk Makkah pula melakukan 23 rakaat dan tidak sesuatu pun yang mutlak”. Beliau juga berpendapat sekiranya berdiri lama (disebabkan bacaan yang panjang) maka akan sikit sujudnya (bilangan rakaat) ia adalah elok, sekiranya dibanyakkan sujud (bilangan rakaat) dan dipendekkan bacaan ia juga adalah elok, tetapi yang pertama lebih aku sukai. Sebahagian salaf mereka melakukan solat dengan jumlah rakaat 40 rakaat tanpa witir, ini menjadi amalan sebahagian salaf. Berapa pun jumlah rakaat yang dilakukan, hak solat itu perlu disempurnakan seperti Tomakninah dan Khusyuk.
Sesiapa yang melakukan 11 rakaat maka ia sebagaimana yang dilakukan oleh baginda nabi s.a.w. Saidatina Aisyah r.a berkata: “Nabi s.a.w tidak melakukan apa-apa tambahan sama ada di bulan Ramadhan atau bulan-bulan lain, baginda solat 11 rakaat sahaja”.-al-Bukhari-
Dari Jabir r.a berkata: “Sesungguhnya nabi s.a.w bersolat bersama mereka dengan 8 rakaat kemudian witir 3 rakaat”.
Walaupun begitu, sesiapa yang solat 23 rakaat maka di sana pun ada kebaikkan. Kerana itu yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khatab dan diriwayatkan dari ramai sahabat dan ahli hadith. Ini adalah amalan Khulafa’ ar-Rassyidin dan kita digesa untuk mengikutinya. Sesiapa yang solat 39 rakaat atau 41 rakaat maka ia juga adalah baik, kerana itu yang dilakukan oleh penduduk Madinah setelah beberapa kurun lamanya.
Pendapat Syiekh Islam Yusof al-Qardawi pula: “Saya lebih suka untuk solat 11 rakaat bersama witir dengan memanjang bacaan kerana itu yang dilakukan oleh baginda s.a.w”.
Muhassabah Diri
Kalau pada kita, pasti kita cari masjid yang paling sikit rakaatnya dan paling pendek bacaannya. Itulah beza iman kita dengan iman para salifus-soleh. Ada sesetengah masjid melakukan 20 rakat tapi dalam masa 15 minit boleh siap. Perhatikan semula adakah hak-hak solat telah disempurnakan, sedangkan Allah s.w.t telah berfirman: (قد أفلح المؤمنون الذين هم في صلاتهم خاشعون) bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang mukmin, mereka yang khusyuk dalam solat”.
Imam Ibn Taimiyyah berkata: “Telah nyata sesungguhnya Ubai bin Ka’ab mengimamkan orang ramai (solat terawih) dengan 20 rakaat dalam bulan Ramadhan dan melakukan witir 3 rakaat. Perkara ini disaksikan oleh ramai ulama dan mereka mengatakan ia adalah sunnah. Ini kerana ia dilakukan oleh golongan al-Muhajirin dan al-Ansar dan tidak memungkirkan mereka perkara yang mungkar”.
Apa yang dilakukan oleh sahabat ini bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan amalan baginda s.a.w. Ini kerana perkara asas bukanlah bilangan rakaat, tetapi panjang solat itu. Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a mengatakan sesungguhnya baginda s.a.w solat pada waktu malam 2 rakaat, tetapi baginda membaca al-Baqarah, An-Nissa dan Al-Imran dalam solat itu. Lama atau panjangnya solat tidak terletak pada bilangan rakaat tetapi panjang bacaan di dalam solat. Mereka yang solat dengan jumlah rakaat yang banyak tidak boleh mendakwa bahawa solat mereka lebih berkualiti dari mereka yang solatnya sedikit rakaat. Ini kerana bilangan rakaat bukanlah sebagai satu kayu ukur terhadap sesuatu solat.
No comments:
Post a Comment